bad posture - desktop bad posture - mobile
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Tulang & Sendi

Langkah-langkah untuk membetulkan postur buruk anda

19 April 2023 · 5 mins read

Topics







Postur yang baik memerlukan lebih daripada sekadar berdiri untuk kelihatan yang terbaik. Perkara ini memainkan peranan penting dalam kesihatan jangka panjang anda. Baca beberapa tips untuk membetulkan postur yang buruk.

Postur yang buruk merujuk kepada ketidakselarasan bahagian badan yang berlainan berhubung dengan graviti, yang menyebabkan kepada ketegangan tidak wajar pada otot, ligamen dan sendi. Ini adalah isu lazim dalam masyarakat moden disebabkan oleh tempoh duduk yang lama, menggunakan peranti digital dan kekurangan aktiviti fizikal.

Apakah tanda-tanda postur yang buruk?

Berikut adalah beberapa tanda postur yang buruk:

  • Bahu bulat
  • Pinggul atau bahu tidak rata
  • Membongkok ke hadapan
  • Kepala dicondongkan ke hadapan
  • Perut menjadi buncit
  • Lengkungan belakang badan menyebabkan kesakitan atau masalah tulang belakang yang lain
  • Keletihan otot
  • Sakit kepala yang berulang
  • Kerap sakit badan
  • Keseimbangan dan penyelarasan yang lemah

Apakah jenis postur yang buruk?

Berikut adalah beberapa jenis postur buruk yang biasa:

  1. Belakang badan yang rata: Bahagian bawah pinggang mendatar dalam postur ini, menyebabkan kehilangan kelengkungan semula jadi tulang belakang. Ini disebabkan terutamanya oleh kelemahan otot, lalu tulang belakang kelihatan lebih rata daripada biasa. Orang yang memiliki belakang yang rata menghadapi masalah untuk berdiri lama dan selalunya cenderung membongkok ke hadapan.
  2. Bongkok (Kyphosis): Ini adalah pembulatan berlebihan bahagian atas belakang yang disebabkan oleh otot belakang yang lemah, postur yang buruk atau masalah tulang belakang seperti osteoporosis.
  3. Kecondongan pelvis anterior: Pelvis dicondongkan ke hadapan, menyebabkan lengkungan yang dibesarkan pada bahagian pinggang. Akibatnya, anda mungkin mengalami ketegangan pinggul fleksor dan sakit di bahagian bawah belakang anda.
  4. Swayback (Lordosis): Ini adalah gabungan kecondongan pelvis anterior dan punggung atas yang bongkok, lalu menyebabkan sakit pada bahagian pinggang, leher dan bahu.
  5. Kepala ke hadapan: Ini dicirikan oleh kedudukan kepala terlalu jauh ke hadapan berhubung dengan bahu, yang boleh menegangkan leher dan otot belakang atas.

Apakah kesan postur yang buruk?

Beberapa kesan postur yang buruk.

  1. Sakit belakang dan leher: Apabila anda membongkok, ia memberi tekanan tambahan pada tulang belakang yang menyebabkan sakit pada bahagian pinggang, belakang atas atau leher anda.
  2. Sakit bahu: Membongkok memberi tekanan pada otot bahu dan leher, menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan.
  3. Sakit kepala: Disebabkan ketegangan pada leher dan bahu, membongkok boleh menyebabkan sakit kepala yang tegang. Selain itu, ini mungkin mencetuskan migrain dan jenis sakit kepala lain.
  4. Fungsi paru-paru berkurangan: Membongkok boleh mengurangkan ruang yang tersedia untuk paru-paru anda mengembang, mengakibatkan pernafasan cetek dan fungsi paru-paru berkurangan.
  5. Pedih ulu hati dan penghadaman yang perlahan: Postur yang membongkok selepas makan boleh mencetuskan pedih ulu hati yang disebabkan oleh refluks asid.
  6. Kecacatan kronik: Lama kelamaan, membongkok boleh menjadikan tulang belakang lebih lemah dan lebih terdedah kepada kecederaan.
  7. Kelesuan: Postur yang buruk boleh menyebabkan anda berasa lebih letih dan kurang bertenaga kerana lebih banyak usaha diperlukan untuk badan anda mengekalkan postur seimbang yang mungkin mengurangkan tenaga anda.

Apakah langkah-langkah untuk membetulkan postur yang buruk?

  • 1. Bagaimana untuk memperbaiki postur duduk yang buruk?

    Untuk memperbaiki postur duduk anda, amalkan perkara berikut dengan lebih kerap:

    • Bangun dan bergerak setiap 30 minit untuk membantu meregangkan tulang belakang anda serta otot di sekelilingnya.
    • Gunakan kerusi sokongan apabila duduk untuk mengelakkan bongkok.
    • Gunakan bangku atau tempat letak kaki untuk menaikkan kaki anda lebih tinggi untuk mengelakkan lenguh dan mengendurkan otot-otot di tulang belakang bawah anda.
  • 2. Bagaimana untuk memperbaiki postur berdiri yang buruk?

    Untuk memperbaiki kedudukan berdiri anda, amalkan perkara berikut dengan lebih kerap:

    • Kekalkan kaki anda selebar bahu dan ratakan berat badan anda pada kedua-dua kaki.
    • Libatkan teras badan anda untuk menyokong tulang belakang dan mengekalkan kedudukan neutralnya.
    • Elakkan kepala condong ke hadapan dan ke belakang dengan memastikan dagu anda selari dengan tanah.
    • Rehatkan bahu, tarik kekipas bahu anda ke belakang dan ke bawah mengarah ke tulang belakang anda.
    • Elakkan berdiri lama dalam kedudukan yang sama.
    • Regangkan leher, bahu dan belakang anda secara kerap akan melegakan ketegangan dan meningkatkan fleksibiliti.
    • Pakai kasut yang selesa untuk mengelakkan masalah postur jangka panjang.
    • Pastikan diri anda aktif sepanjang hari dengan berjalan kaki seketika dan melakukan aktiviti fizikal.
  • 3. Bagaimana untuk memperbaiki postur tidur yang buruk?

    Tidur dalam kedudukan yang tidak betul untuk masa yang lama boleh menghimpit otot bahu dan leher anda, menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan. Untuk memperbaiki kedudukan berdiri anda, amalkan perkara berikut dengan lebih kerap:

    • Tidur mengiring dengan bantal di antara lutut.
    • Gunakan bantal sokongan.
    • Pastikan tulang belakang anda diselaraskan dalam kedudukan neutral.
    • Elakkan tidur dengan tangan di atas kepala.
    • Gunakan tilam sokongan.
    • Buat regangan lembut sebelum tidur.
  • 4. Bagaimana untuk memperbaiki postur pemanduan yang buruk?
    • Pastikan tempat duduk anda diletakkan pada ketinggian dan jarak yang betul dari stereng. Lutut anda harus dibengkokkan pada sudut 90 darjah dan kaki anda sepatutnya boleh mencapai pedal dengan mudah.
    • Duduk lurus dengan bahu anda ke belakang dan kepala anda sejajar dengan tulang belakang.
    • Tambah kusyen sokongan lumbar.
    • Laraskan cermin anda supaya anda tidak menegangkan leher atau belakang anda untuk melihatnya.
    • Kuatkan otot teras anda dengan kerap bersenam.

Soalan Lazim berkenaan postur yang buruk

  1. Adakah postur yang buruk menyebabkan skoliosis?

    Dalam kebanyakan kes, skoliosis adalah kongenital atau disebabkan oleh keadaan neuromuskular yang mengakibatkan perkembangan vertebra yang tidak betul.

    Namun, postur yang buruk boleh menyumbang kepada perkembangan skoliosis dan memburukkan lagi gejalanya. Ini boleh menyebabkan ketidakselarasan tulang belakang dan memberi tekanan pada tulang belakang yang sudah melengkung pada pesakit skoliosis.

  2. Adakah postur yang buruk kekal?

    Tidak, postur yang buruk bukanlah keadaan yang kekal. Namun, boleh menjadi tabiat yang sukar dihentikan tanpa campur tangan yang betul.

    Dengan pendekatan yang betul, anda boleh memperbaiki postur badan dan mencegah kerosakan selanjutnya pada badan anda. Ini mungkin melibatkan gabungan senaman dan pengubahsuaian gaya hidup, seperti mengamalkan ergonomik yang baik, mengekalkan berat badan yang sihat dan berehat daripada duduk untuk jangka masa yang lama.

    Bincang dengan pakar ortopedik untuk mengetahui lebih lanjut tentang mencegah postur yang buruk.

  3. Adakah postur yang buruk membantutkan pertumbuhan?

    Mempunyai postur yang buruk tidak mengubah struktur tulang seseorang. Akan tetapi, seseorang dengan postur belakang yang bongkok dan bahu bulat mungkin kelihatan lebih pendek daripada ketinggian sebenar.

Buat janji temu di Hospital Pantai

Postur yang baik memerlukan lebih daripada sekadar berdiri untuk kelihatan yang terbaik. Perkara ini memainkan peranan penting dalam kesihatan jangka panjang anda.

Pasukan pakar Ortopedik yang berdedikasi di Hospital Pantai bersedia untuk berunding bagi memberikan penjagaan dan bantuan yang terbaik.

Hubungi kami untuk menempah janji temu hari ini jika anda mengalami kesakitan dan ketidakselesaan yang berpanjangan akibat postur yang buruk.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel Dicadangkan

Click to know more!