What Causes Infertility What Causes Infertility
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Wanita

Punca Utama Kemandulan dan Ujian untuk Mengesannya

25 November 2025 · 6 mins read

Topics






Ketahui punca kemandulan. Ketahui lebih lanjut tentang ujian yang diperlukan serta penyelesaian yang berkesan untuk membantu anda dalam perjalanan ke arah keibubapaan. Tempah janji temu sekarang!

Ketidakseimbangan Hormon

Salah satu punca kemandulan yang biasa dialami oleh lelaki dan wanita ialah ketidakseimbangan hormon. Ketidakseimbangan ini boleh mengganggu ovulasi, penghasilan sperma serta kesihatan reproduktif secara keseluruhan. Ujian yang dijalankan di Hospital-hospital Pantai boleh membantu mengenal pasti punca kemandulan ini.

Ujian darah untuk tahap hormon

Ujian ini mengukur hormon penting seperti hormon perangsang folikel (FSH), hormon luteinising (LH), estrogen, progesteron dan testosteron. Paras yang tidak normal boleh menunjukkan masalah seperti sindrom ovari polisistik (PCOS) atau tahap testosteron yang rendah.

Ujian fungsi tiroid

Gangguan tiroid boleh mengganggu ovulasi dalam kalangan wanita sehingga menyebabkan kemandulan serta menjejaskan penghasilan sperma pada lelaki. Hipotiroidisme atau hipertiroidisme boleh dikenal pasti melalui ujian tahap hormon perangsang tiroid (TSH).

Ujian prolaktin

Paras prolaktin yang tinggi boleh menghalang proses ovulasi serta menyebabkan kitaran haid yang tidak teratur.

Mengatasi ketidakseimbangan ini melalui rawatan yang disesuaikan seperti terapi hormon atau perubahan gaya hidup boleh meningkatkan peluang kesuburan dengan ketara.

Apakah Ujian Diagnostik untuk Mengesan Keabnormalan Struktur?

Masalah struktur dalam sistem reproduktif juga boleh menjejaskan persenyawaan. Ujian diagnostik untuk masalah struktur termasuk:

Pengimejan ultrabunyi

Digunakan untuk mengesan keabnormalan seperti fibroid rahim, sista ovari atau polip endometrium.

Histerosalpingografi (HSG)

Sejenis pemeriksaan sinar-X khusus yang digunakan untuk menilai penyumbatan atau parut pada tiub fallopio dan rahim.

Laparoskopi

Prosedur pembedahan invasif minimum yang digunakan untuk mengenal pasti endometriosis, perekatan, atau keabnormalan pelvis yang lain.


Laparoskopi

Prosedur pembedahan invasif minimum untuk mengenal pasti endometriosis, lekatan atau keabnormalan lain pada pelvis.

Ujian-ujian ini membantu dalam mendiagnosis halangan fizikal terhadap persenyawaan, yang kebanyakannya boleh dirawat melalui pembedahan atau dengan penggunaan teknologi pembiakan berbantu seperti persenyawaan in vitro (IVF) (Thaker et al., 2023).

Apakah Faktor yang Menyebabkan Kemandulan Lelaki?

Kemandulan memberi kesan kepada lelaki dan wanita secara sama rata, namun kemandulan lelaki sering diabaikan. Ujian menyeluruh untuk mengenal pasti faktor kemandulan lelaki termasuk:

Analisis Air Mani

Beberapa faktor akan dinilai: pertama, jumlah sperma; kedua, motiliti (pergerakan sperma) untuk mencapai dan menyuburkan ovum; dan ketiga, morfologi (bentuk dan saiz sperma). Ujian ini biasanya merupakan langkah awal dalam mengesan kemandulan lelaki.

Penilaian Hormon

Untuk mengenal pasti kekurangan hormon, ujian darah dijalankan bagi mengukur hormon seperti hormon perangsang folikel (FSH), hormon luteinising (LH), testosteron dan prolaktin. 

Ujian Genetik

Ujian ini mengesan keabnormalan kromosom atau keadaan genetik seperti sindrom Klinefelter yang boleh menjejaskan kesuburan. 

Biopsi Testis

Prosedur ini digunakan untuk mengenal pasti penghasilan sperma secara langsung daripada testis dalam kes azoospermia (tiada sperma dalam air mani).

Dengan menangani masalah khusus pada lelaki melalui intervensi perubatan, perubahan gaya hidup atau teknologi pembiakan berbantu, pasangan boleh meningkatkan peluang untuk hamil dengan ketara (World Health Organization, 2024).

Apakah Kemandulan yang Tidak Diketahui Puncanya?

Bagi kira-kira 10–20% pasangan, ujian kesuburan standard seperti pemeriksaan hormon, ujian tiub fallopio dan analisis sperma mungkin menunjukkan keputusan yang normal, namun kehamilan masih sukar dicapai. Keadaan ini dikenali sebagai kemandulan yang tidak diketahui puncanya. Dalam situasi ini, alat diagnostik yang lebih maju dapat membantu mengenal pasti faktor tersembunyi yang menyebabkan kemandulan serta memberikan maklumat penting untuk merangka strategi rawatan yang lebih disesuaikan. Ujian khusus ini termasuk:

Saringan Genetik

Faktor genetik boleh menjejaskan kesuburan secara tidak langsung tanpa menunjukkan keadaan perubatan yang jelas. Saringan genetik melibatkan analisis kromosom serta mutasi gen tertentu bagi kedua-dua pasangan untuk mengenal pasti keabnormalan yang boleh menjejaskan kualiti ovum atau sperma. Keadaan seperti translokasi seimbang, mutasi gen tunggal atau kecacatan DNA mitokondria boleh menjejaskan perkembangan embrio, sekali gus menyebabkan kegagalan implantasi atau meningkatkan risiko keguguran. Mengenal pasti keabnormalan ini dapat membantu pakar perubatan mencadangkan rawatan yang sesuai, termasuk ujian genetik praimplantasi (PGT) semasa kitaran IVF.

 

Ujian Imunologi Reproduktif

Dalam sesetengah kes, sistem imun mungkin memainkan peranan tersembunyi dalam kemandulan yang tidak diketahui puncanya. Ujian imunologi reproduktif menilai sama ada terdapat tindak balas autoimun atau alloimun yang boleh menghalang implantasi embrio atau menyebabkan keguguran berulang. Keadaan seperti sindrom antifosfolipid, aktiviti sel pembunuh semula jadi (NK) yang tinggi atau kehadiran antibodi anti-tiroid boleh menyebabkan kegagalan kehamilan. Pengesanan faktor imun ini membolehkan pakar kesuburan mempertimbangkan rawatan imunomodulator seperti kortikosteroid, intralipid atau antikoagulan bagi meningkatkan peluang kehamilan yang berjaya.

 

Analisis Penerimaan Endometrium (ERA)

Endometrium yang reseptif penting untuk memastikan implantasi embrio berlaku dengan berkesan. Namun begitu, masa paling sesuai untuk implantasi (“window of implantation”) boleh berbeza walaupun dalam kalangan wanita yang sihat. ERA melibatkan biopsi lapisan endometrium, di mana corak ekspresi gennya dianalisis untuk mengenal pasti tahap penerimaan. Pakar perubatan boleh menyesuaikan masa pemindahan embrio semasa kitaran IVF agar sepadan dengan tetingkap implantasi yang diperibadikan sekiranya tetingkap tersebut berubah, sekali gus meningkatkan kadar implantasi dan kehamilan dengan ketara dalam kalangan wanita yang mengalami kemandulan yang tidak diketahui puncanya.

 

Analisis Air Mani Lanjutan

Analisis air mani konvensional biasanya memberi tumpuan kepada kepekatan sperma, motiliti dan morfologi. Namun begitu, integriti DNA sperma, yang penting untuk pertumbuhan dan daya maju embrio, tidak selalu dapat dikenal pasti melalui parameter ini. Ujian air mani lanjutan termasuk analisis fragmentasi DNA, yang menilai tahap kerosakan genetik dalam sperma. Tahap fragmentasi DNA yang tinggi dikaitkan dengan persenyawaan yang lemah, kualiti embrio yang rendah serta keguguran berulang. Pengesanan masalah ini boleh membawa kepada cadangan perubahan gaya hidup, terapi antioksidan atau teknik pembiakan berbantu seperti ICSI (suntikan sperma intracytoplasmic) bagi meningkatkan hasil rawatan.

 

Ujian diagnostik lanjutan ini memberikan maklumat penting yang sering terlepas dalam penilaian standard. Dengan mengenal pasti masalah genetik, imunologi, endometrium atau faktor berkaitan sperma, pakar kesuburan dapat merangka pelan rawatan yang lebih diperibadikan, sekali gus meningkatkan peluang untuk mencapai kehamilan yang berjaya, termasuk dalam kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai “kemandulan yang tidak diketahui puncanya” (Practice Committee of the American Society for Reproductive Medicine, 2020).

Jadualkan Janji Temu di Hospital-hospital Pantai

Kemandulan boleh menjadi satu perjalanan yang mencabar dari segi emosi dan fizikal bagi lelaki dan wanita, namun ujian diagnostik yang tepat dapat mengenal pasti punca tersembunyi dan membuka jalan kepada rawatan yang berjaya. Hospital-hospital Pantai menyediakan kemudahan perubatan terkini serta pasukan pakar yang prihatin untuk membantu anda pada setiap langkah perjalanan kesuburan anda. Jadualkan janji temu anda hari ini untuk memulakan langkah pertama ke arah merealisasikan impian menjadi ibu bapa. Anda juga boleh membuat janji temu melalui laman web kami atau memuat turun aplikasi My Health 360, yang boleh didapati di Google Play Store atau Apple App Store.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmen terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel Dicadangkan

Click to know more!
aad blue heart