health-pulse-perimenopause-banner health-pulse-perimenopause-banner
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Wanita

Semua Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Perimenopaus

29 April 2024 · 5 mins read

Topics










Perimenopaus ialah fasa peralihan antara tahun reproduktif wanita dan menopaus dan boleh berlangsung selama beberapa tahun. Ketahui lebih lanjut.

Perimenopaus ialah proses biologi semula jadi yang menandakan peralihan ke arah menopaus dan boleh bermula pada usia 40-an wanita, walaupun boleh bermula lebih awal atau lewat, bergantung kepada beberapa faktor.

Panduan ini akan menerangkan semua perkara yang anda perlu tahu tentang perimenopaus, termasuk gejala, punca dan pilihan pengurusan. Pemahaman yang lebih mendalam tentang fasa ini boleh membolehkan wanita menangani kesihatan mereka dengan lebih baik.

Apakah Perimenopaus?

Perimenopaus ialah fasa peralihan antara tahun reproduktif wanita dengan menopaus. Kebiasaannya bermula beberapa tahun sebelum menopaus.

Pada peringkat ini, badan wanita mula mengurangkan pengeluaran estrogen dan progesteron, lalu menyebabkan perubahan dalam kitaran haid, menyebabkan haid menjadi tidak teratur. Gejala lain termasuk berpeluh malam, kesukaran tidur, panas badan dan perubahan mood.

Apakah Perbezaan Antara Perimenopaus dan Menopaus?

Menopaus adalah kejadian semula jadi yang diperhatikan dengan pemberhentian pengeluaran telur dalam ovari wanita dan penurunan pengeluaran hormon wanita secara beransur-ansur iaitu estrogen dan progesteron. Seorang wanita dianggap telah mencapai menopaus apabila tidak lagi mengalami haid selama 12 bulan berturut-turut.

Sebaliknya, perimenopaus ialah tempoh sebelum menopaus apabila tubuh wanita sedang beralih kepada menopaus.

Bilakah Perimenopaus Bermula?

Perimenopaus boleh bermula pada bila-bila masa semasa wanita berumur 40-an, juga boleh berlaku seawal pertengahan 30-an wanita. 

Jika menopaus berlaku sebelum umur 40 tahun, keadaan ini dipanggil menopaus pramatang atau awal. Peralihan awal ini boleh dikaitkan dengan penyakit atau rawatan perubatan yang sedang diterima.

Berapa Lamakah Perimenopaus Berkekalan?

Perimenopaus boleh berlangsung selama beberapa tahun, dengan tempoh purata sekitar 4 tahun. Namun, sesetengah wanita mungkin mengalami perimenopaus selama beberapa bulan atau selama 10 tahun.

Apabila seorang wanita tidak mengalami haid selama lebih setahun, dia telah memasuki fasa menopaus.

Apakah Tanda-tanda Perimenopaus?

Tanda-tanda perimenopaus boleh berbeza-beza antara wanita dan terdiri antara ringan hingga teruk. Sesetengah wanita mungkin mengalami hanya beberapa gejala, manakala yang lain mungkin mengalami pelbagai gejala. Berikut adalah beberapa gejala yang biasa:

  1. Haid tidak teratur:

    Tempoh haid mungkin menjadi tidak teratur dari segi perubahan tempoh kitaran dan aliran.
  2. Panas badan dan berpeluh malam:

    Rasa panas badan secara tiba-tiba dan sengit, selalunya disertai dengan peluh yang berlangsung selama 5 hingga 10 minit.
  3. Perubahan mood:

    Perubahan mood adalah perkara biasa semasa perimenopaus, termasuk perubahan angin, ragam dan kemurungan. Perubahan ini mungkin berkaitan dengan turun naik hormon yang berlaku semasa perimenopaus.
  4. Kesukaran tidur:

    Ramai wanita mengalami gangguan tidur akibat turun naik hormon. Gangguan ini mungkin juga berkaitan dengan panas badan dan peluh malam.
  5. Kekeringan faraj:

    Pengurangan estrogen boleh menyebabkan tisu faraj kehilangan keanjalan dan pelinciran. Ini boleh menyebabkan kesakitan semasa hubungan seks, menyebabkan penurunan keinginan seksual pada pertengahan umur.
  6. Kesuburan berkurangan:

    Tahap kesuburan berkurangan secara semula jadi semasa perimenopaus, tetapi kehamilan tidak mustahil berlaku.

Bilakah Saya Perlu Berjumpa Doktor?

Walaupun gejala perimenopaus boleh menyebabkan rasa tidak selesa, biasanya tidak perlu dibimbangkan. Namun, wanita harus mendapatkan rawatan perubatan jika gejala yang dialami adalah teruk atau sukar untuk menjalankan tugas harian.

Beberapa petanda anda perlu mendapatkan nasihat perubatan:

  • Gumpalan darah haid.
  • Pendarahan tidak teratur antara kitaran.
  • Pendarahan selepas hubungan seks.
  • Perubahan mood mengganggu keupayaan anda untuk bekerja.

Bagaimanakah Perimenopaus Diuruskan?

Pengalaman setiap wanita adalah berbeza-beza. Namun, terdapat beberapa pilihan boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan akibat perimenopaus.

  • Terapi hormon: Boleh mengurangkan gejala perimenopaus seperti panas badan, perubahan mood dan haid yang tidak teratur.
  • Pelincir dan pelembap faraj: Boleh digunakan untuk mengurangkan kekeringan faraj dan ketidakselesaan semasa hubungan seksual. Pilih alternatif berasaskan air untuk meminimumkan risiko kerengsaan. 
  • Pemakanan yang sihat: Diet yang sihat boleh membantu menguruskan penambahan berat badan dan gejala perimenopaus lain, termasuk risiko osteoporosis dan penyakit jantung yang lebih tinggi. Makanan diet rendah lemak dan kaya dengan kalsium dan serat (iaitu buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh). Elakkan makanan diproses, minuman manis dan jumlah alkohol yang berlebihan.
  • Senaman: Senaman yang kerap boleh membantu menangani penambahan berat badan dan meningkatkan mood serta kualiti tidur. Cuba lakukan sekurang-kurangnya 30 minit senaman sederhana setiap hari, seperti berjalan pantas, berbasikal atau berenang. Namun, elakkan bersenam sebelum tidur. Bagi wanita yang lebih berusia, bersenam secara kerap membantu pertumbuhan tulang, meningkatkan ketumpatan tulang dan mengurangkan risiko patah pinggul. 
  • Dapatkan rehat yang mencukupi: Rutin tidur yang sihat adalah penting dan sebaiknya sekurang-kurangnya 7-8 jam setiap malam. Elakkan pendedahan kepada skrin sebelum tidur, cipta persekitaran yang tenang dan santai pada waktu malam, elakkan kafein atau alkohol sebelum tidur.
  • Menguruskan tahap tekanan: Melibatkan diri dalam teknik mengurangkan tekanan boleh melancarkan peralihan kepada menopaus dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan. Beberapa kaedah untuk dicuba ialah yoga, meditasi, senaman pernafasan dalam dan kewaspadaan.

Bolehkah Saya Hamil Jika Saya Dalam Perimenopaus?

Walaupun mungkin untuk hamil semasa perimenopaus, situasinya semakin rumit kerana tahap hormon berubah-ubah dan ovulasi menjadi kurang kerap. Wanita yang ingin mengelakkan kehamilan harus menggunakan kontraseptif sehingga telah 12 bulan berturut-turut tidak mengalami haid.

Atur Janji Temu di Hospital Pantai

Perimenopaus adalah peringkat semula jadi kehidupan yang menandakan peralihan daripada tahun reproduktif kepada menopaus. Walaupun gejala mungkin membuatkan wanita tidak selesa, gabungan rawatan perubatan dan gaya hidup boleh membantu anda menguruskannya. 

Berbincang dengan doktor anda tentang gejala yang dialami dan bekerjasama untuk membentuk pelan rawatan yang diperibadikan. Dengan penjagaan yang betul, wanita boleh menguruskan perimenopaus dan menikmati kesihatan dan kesejahteraan yang optimum.

Hubungi kami untuk mengatur janji temu dengan pasukan ginekologi hari ini atau ketahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pantai yang terdekat dengan anda.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmen terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel Dicadangkan

Click to know more!