A Comprehensive Guide to Prenatal Care - desktop banner A Comprehensive Guide to Prenatal Care - mobile banner
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Wanita

Panduan Lengkap Penjagaan Pranatal

20 Oktober 2023 · 5 mins read

Topics







Penjagaan pranatal memberi banyak manfaat kepada wanita hamil. Baca untuk mengetahui kelebihannya, bila masa untuk mulakan dan tempat untuk mendapatkan penjagaan pranatal yang terbaik.

Perjalanan selaku seorang ibu dipenuhi dengan detik yang menggembirakan dan melelahkan. Salah satu aspek yang paling penting dalam perjalanan ini adalah penjagaan pranatal. Dalam perjalanan kehamilan yang transformatif, penjagaan pranatal menjadi satu panduan yang dapat membimbing ibu hamil untuk melahirkan anak yang selamat dan sihat.

Penjagaan ini amat penting kerana kehamilan yang sihat dapat menggalakkan kelahiran yang sihat. Perjalanan kehamilan akan lebih mudah apabila nasihat perubatan untuk bakal ibu telah disediakan.

Dengan memahami kepentingan ini dan mematuhi garis panduan yang disyorkan, bakal ibu boleh meningkatkan peluang mereka untuk hamil tanpa komplikasi dan melahirkan bayi yang sihat.

Apakah penjagaan pranatal?

Penjagaan pranatal atau antenatal (ANC) ialah perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang diberikan kepada wanita hamil sejak mula hamil hingga melahirkan anak. Proses ini melibatkan penilaian sejarah perubatan ibu, kesihatan fizikal semasa, jenis ketagihan, gaya hidup dan perkara yang boleh menjejaskan kesihatan bayi.

Pemeriksaan biasa, saringan dan sesi pendidikan biasanya disertakan, lalu membolehkan ahli profesional penjagaan kesihatan memantau perkembangan kehamilan, mengesan komplikasi awal dan menawarkan panduan tentang pemakanan, senaman dan pilihan gaya hidup yang lain.

Mengapakah penjagaan pranatal adalah penting?

Ini adalah beberapa sebab mengapa wanita hamil harus mengutamakan penjagaan pranatal dalam kehamilan mereka:

  1. Mengurangkan risiko mengalami komplikasi kehamilan

    Semasa lawatan ke klinik penjagaan pranatal, pembekal penjagaan kesihatan menasihati wanita hamil tentang perkara berikut:

    • Pemakanan yang sihat dan selamat.
    • Rutin senaman yang selamat.
    • Petua untuk mengawal penyakit sedia ada seperti tekanan darah tinggi dan diabetes untuk mengelakkan komplikasi yang serius.
    • Nasihat tentang bahan berbahaya untuk dielakkan, seperti radiasi dan plumbum untuk mengelakkan kesan sampingan terhadap janin pada masa hadapan.

    Semua maklumat ini membolehkan ibu hamil memperbaiki gaya hidup mereka bagi menampung tumbesaran janin.

  2. Mengurangkan risiko komplikasi terhadap janin dan bayi

    Penyedia penjagaan kesihatan membuat pemeriksaan susulan untuk memastikan ibu hamil mengambil langkah berjaga-jaga yang mencukupi untuk melindungi janin. Contohnya:

    • Memastikan wanita hamil tidak meminum alkohol dan menggunakan tembakau. Jumlah alkohol yang rendah pun boleh menambah risiko gangguan spektrum alkohol pada janin.
    • Memastikan wanita hamil mengambil asid folik sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil, memastikan bayi dapat dilahirkan dengan sihat.
    • Memastikan ubat-ubatan yang diambil oleh wanita hamil adalah selamat.

Bilakah anda harus memulakan penjagaan pranatal?

Penjagaan pranatal sebaiknya bermula sebaik sahaja wanita merasakan yang dia mungkin hamil. Lawatan awal dan kerap kepada pembekal penjagaan kesihatan boleh membantu memastikan kesihatan dan kesejahteraan ibu dan bayi yang sedang berkembang.

Panduan tentang apa yang perlu dimakan, suplemen yang perlu diambil dan senaman yang betul boleh meningkatkan peluang untuk hamil dengan bayi yang sihat. Perkara ini dinamakan perancangan prakonsepsi atau penjagaan pra-kehamilan.

Oleh itu, memulakan penjagaan awal walaupun sebelum hamil dapat memberi bermanfaat jika anda sedang merancang kehamilan.

Berapa kerapkah lawatan penjagaan pranatal diperlukan?

Jumlah lawatan yang diperlukan ditentukan oleh beberapa faktor. Sebagai contoh, wanita dengan kehamilan berisiko tinggi memerlukan lawatan pranatal yang lebih kerap. Malah jika anda hamil anak kembar, anda mungkin memerlukan ujian tambahan untuk memeriksa perkembangan setiap bayi. Kekerapan lawatan juga ditentukan oleh sejauh mana tahap kehamilan anda.

Untuk kehamilan yang sihat, ini adalah jadual yang disyorkan untuk lawatan pranatal:

  • Minggu 4 – Minggu 28: 1 lawatan pranatal setiap bulan
  • Minggu 24 – Minggu 36: 1 lawatan pranatal setiap dua minggu
  • Minggu 36 – Minggu 40: 1 lawatan pranatal setiap minggu

Apakah yang berlaku semasa janji temu penjagaan pranatal anda?

Inilah yang anda boleh jangkakan semasa lawatan penjagaan pranatal anda:

  1. Janji temu penjagaan pranatal pertama

    Lawatan pranatal pertama mungkin adalah paling lama daripada semua janji temu lain kerana doktor perlu mengetahui semua masalah perubatan anda yang boleh menjejaskan kehamilan. Pembekal perkhidmatan kesihatan mungkin bertanya tentang sejarah perubatan anda termasuk:

    • Sejarah peribadi dan keluarga anda.
    • Sebarang ubat, preskripsi atau suplemen yang anda ambil.
    • Gaya hidup anda – termasuk pengambilan kafein, alkohol, tembakau dan bahan lain, jika ada.
    • Sejarah haid, kehamilan terdahulu dan sejarah ginekologi anda.
    • Pendedahan terhadap sebarang bahan toksik seperti bahan kimia di tempat kerja.
    • Sejarah perjalanan ke kawasan yang mempunyai jangkitan biasa seperti batuk kering, malaria, cacar monyet dan jangkitan lain.

    Semasa lawatan ini, sila kongsikan sebarang maklumat peribadi lain, seperti penggunaan dadah yang lalu atau keganasan rumah tangga, untuk memastikan pembekal perkhidmatan kesihatan memberikan anda semua bantuan yang diperlukan.

    Anda juga akan menjalani pemeriksaan fizikal, ujian darah dan air kencing untuk memastikan anda sihat. Ujian mungkin termasuk:

    • Pemeriksaan pelvis.
    • Pemeriksaan payudara.
    • Ujian untuk mengesan jangkitan seksual seperti HIV, gonorea dan sifilis.
    • Saringan rubela, anemia, diabetes dan hepatitis B.
  2. Janji temu susulan penjagaan pranatal

    Janji temu susulan adalah standard jika tiada komplikasi dikesan. Mungkin melibatkan:

    • Pengukuran perkembangan rahim anda.
    • Ujian genetik.
    • Ujian air kencing untuk mengesan diabetes semasa hamil, masalah buah pinggang dan masalah pundi kencing.
    • Memeriksa pembengkakan buku lali.
    • Memberi vaksin yang diperlukan seperti Difteria, Tetanus dan Pertusis (Tdap).
    • Mengemas kini sejarah perubatan.
    • Mendengar degupan jantung janin.
    • Memeriksa kedudukan janin.
    • Mengesyorkan vaksin lain seperti Hepatitis A atau suntikan flu.
    • Bertanya soalan yang anda mungkin ingin suarakan dalam perjalanan kehamilan anda.
  3. Ujian dan saringan pranatal biasa

    Ujian dan saringan penjagaan pranatal boleh membantu mengenal pasti kecacatan kongenital dan masalah kesihatan lain yang mungkin dialami oleh janin pada peringkat awal, membolehkan campur tangan perubatan awal dan ibu bapa untuk membuat keputusan yang tepat untuk bayi mereka.

    Berikut adalah beberapa ujian pranatal standard:

    • Ultrabunyi: Untuk memeriksa saiz bayi dan mengetahui sama ada terdapat kecacatan kongenital atau masalah lain yang mungkin dihadapi oleh bayi.
    • Amniosentesis: Doktor menggunakan cecair amnion (ketuban) di dalam rahim untuk mengukur tahap protein.
    • Ujian pranatal bukan invasif (NIPT): Ini adalah ujian darah yang boleh dilakukan seawal 12 minggu. Ujian saringan ini dilakukan untuk memeriksa sama ada janin mengalami gangguan kromosom seperti sindrom Down (Trisomi 21), sindrom Edward (Trisomi 18), Sindrom Patau (Trisomi 13) dan gangguan genetik yang lain. Ujian juga boleh menentukan jantina bayi.
    • Pemeriksaan darah ibu: Untuk mengukur protein plasma berkaitan kehamilan - A (PAPP-A) dan human chorionic gonadotropin (hCG) - untuk memastikan bayi tidak mengalami gangguan kromosom.
    • Ekokardiogram janin: Jika pembekal kesihatan mengesyaki sebarang masalah dengan degupan jantung bayi, ujian ini akan dilakukan untuk memberikan butiran yang lebih tepat tentang degupan jantung bayi berbanding ultrabunyi.

Atur janji temu di Hospital Pantai

Di Malaysia, Hospital Pantai menawarkan perkhidmatan bersalin, termasuk penjagaan pranatal dan pemeriksaan yang menyeluruh. Pakej penjagaan pranatal biasanya merangkumi semua yang diperlukan oleh wanita hamil, termasuk nasihat pemakanan, sesi senaman, kelas pernafasan, perkhidmatan Ob/Gyn dan banyak lagi.

Lihat senarai penuh pakej bersalin kami untuk membuat pilihan yang menepati keperluan anda.

Hubungi kami untuk mengatur janji temu bersama pasukan pakar O&G kami hari ini atau ketahui lebih lanjut tentang kami, Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pantai yang terdekat dengan anda.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel Dicadangkan

Click to know more!