health-pulse-sleep-banner health-pulse-sleep-banner
Penjagaan Pencegahan
Kekal Sihat

7 Tips Untuk Membantu Anda Mendapatkan Tidur Malam Yang Nyenyak

05 Mac 2024 · 4 mins read

Topics




Memastikan tidur malam yang nyenyak adalah penting untuk kesihatan keseluruhan dan kesejahteraan mental anda. Ketahui cara anda boleh mewujudkan rutin tidur yang sihat.

Mengapakah Tidur Adalah Penting?

Tidur adalah penting untuk kesihatan fizikal, fungsi kognitif dan kesejahteraan emosi. Hal ini penting dalam mengekalkan kesihatan keseluruhan dan menyokong pelbagai fungsi badan.

Tidur yang tidak mencukupi menjejaskan pelbagai aspek kesihatan dan kesejahteraan kita:

  • Kemerosotan kognitif: Tidur adalah penting untuk fungsi kognitif seperti ingatan, perhatian dan pembelajaran. Kekurangan tidur boleh merosakkan fungsi ini, menyebabkan produktiviti dan prestasi merosot.
  • Gangguan mood: Kurang tidur boleh menyebabkan gangguan mood, peningkatan tekanan, kebimbangan dan kemurungan.
  • Kesihatan fizikal: Kurang tidur kronik dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit kardiovaskular, diabetes, obesiti dan sistem imun yang lemah.
  • Risiko keselamatan: Tidur yang tidak mencukupi boleh menyebabkan rasa mengantuk dan kewaspadaan berkurangan, meningkatkan kemungkinan untuk mengalami kemalangan.

Apakah 7 Tips Untuk Mendapatkan Tidur Malam Yang Nyenyak?

  1. Tetapkan Jadual Tidur Yang Konsisten

    Kita sedia maklum bahawa rutin tidur membantu bayi dan kanak-kanak tertidur pada masa tertentu. Situasi ini turut terpakai pada orang dewasa kerana mempunyai rutin tidur membolehkan badan anda memprogramkan diri untuk tertidur secara semula jadi dan bangun pada waktu tertentu.

    Amalkan waktu tidur yang konsisten dengan tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari dan pada hujung minggu juga.

  2. Lakukan Rutin Waktu Tidur Yang Santai

    Tidur lebih mudah jika anda santai. Membaca dalam diam, regangan impak rendah, mendengar muzik yang menenangkan dan senaman relaksasi adalah beberapa aktiviti menenangkan yang boleh menjadi sebahagian daripada rutin untuk menyediakan minda anda untuk tidur.

    Anda harus memberi tumpuan kepada cuba berehat dan bukannya cuba untuk tidur. Pernafasan terkawal, meditasi penuh perhatian, kelonggaran otot progresif dan imejan berpandu adalah beberapa kaedah relaksasi yang boleh membantu menyediakan anda untuk tidur yang lena.

  3. Optimumkan Persekitaran Tidur Anda

    Pastikan katil anda menawarkan sokongan, keselesaan dan ruang yang mencukupi untuk meminimumkan gangguan semasa anda tidur. Pastikan bilik anda ditetapkan pada suhu yang betul dan sejuk. Minimalis, warna terang dan bau yang menyenangkan seperti lavender dan geranium juga boleh membantu mencipta suasana tidur yang menenangkan, membentuk bilik tidur yang ideal untuk anda berehat.

    Bilik yang gelap juga membantu menggalakkan persekitaran tidur yang selesa. Jika lampu jalan atau cahaya matahari yang terang di luar tingkap mengganggu tidur anda, pertimbangkan untuk menggunakan langsir yang lebih tebal, lapisan tambahan atau beli bidai gelap untuk menggalakkan tidur yang selesa.

  4. Perhatikan Pemakanan Dan Minuman Anda

    Diet untuk tidur penting sebab jenis makanan tertentu menggalakkan tidur yang lebih baik dan sesetengahnya tidak. Sebagai contoh, elakkan mengambil kafein, alkohol dan makanan berat beberapa jam sebelum waktu tidur.

    Mengambil makanan manis adalah tidak baik kerana lonjakan tenaga yang cepat, diikuti dengan kemerosotan tenaga yang boleh mengganggu ritma badan anda. Penyelidikan juga telah membuktikan bahawa jika anda mengalami tidur yang kurang baik, anda juga lebih cenderung mengambil makanan ringan pada hari berikutnya, lalu menyebabkan kitaran tidur yang tidak mencukupi dan diet yang tidak sihat.

    Minuman berkafein seperti kopi, teh dan soda adalah minuman yang digemari ramai. Sesetengah orang menggunakan kafein untuk memberi pusuan tenaga dan cuba mengatasi rasa mengantuk pada siang hari. Namun, kafein dan tidur bukanlah gabungan yang baik. Kaedah ini tidak bagus dan boleh menyebabkan kekurangan tidur jangka panjang.

    Satu cara untuk mengelakkan rasa tidak dapat tidur adalah dengan memerhatikan pengambilan kafein anda, terutamanya jika lewat hari. Bagi kebanyakan individu, mengambil kopi atau minuman berkafein lain pada waktu malam boleh menjejaskan tidur mereka. Walaupun alkohol mungkin membuat anda mengantuk pada mulanya, kandungannya boleh mengganggu corak tidur pada waktu malam.

    Perut yang kelaparan boleh mengalihkan perhatian anda daripada tidur, tetapi begitu juga dengan perut yang terlalu kenyang. Makanan berat pada dua hingga tiga jam sebelum waktu tidur tidak digalakkan, tetapi tidur dalam keadaan lapar juga tidak membantu. Jika anda berasa sakit perut sebelum tidur, makanan yang menggalakkan tidur yang lebih nyenyak termasuk sedikit snek sihat dapat memuaskan rasa lapar anda sehingga sarapan pagi tiba.

  5. Menggabungkan Senaman Tetap

    Libatkan diri dalam aktiviti fizikal yang kerap tetapi cuba selesaikan senaman anda sekurang-kurangnya beberapa jam sebelum waktu tidur. Bersenam boleh menggalakkan tidur yang lebih baik, tetapi bersenam terlalu dekat dengan waktu tidur mungkin mempunyai kesan bertentangan.

  6. Menguruskan Tekanan Dan Kebimbangan

    Anda perlu mencari rezeki dan banyak kerja yang perlu dibuat pada setiap hari. Kebimbangan anda pada siang hari menjejaskan anda walaupun pada waktu malam. Tekanan merupakan satu bentuk rangsangan, mengaktifkan hormon "fight or flight" yang menghalang anda daripada tidur.

    Oleh itu, pengurusan tekanan memainkan peranan penting dalam menggalakkan tidur yang lebih baik. Pastikan anda memberi sedikit masa untuk berehat sebelum tidur. Mempelajari beberapa teknik relaksasi boleh menggalakkan tidur yang baik dan pengurangan kebimbangan pada siang hari. Untuk berehat, cuba amalkan senaman pernafasan mendalam. Tarik nafas perlahan dan dalam-dalam, kemudian hembus sepenuhnya.

    Penting untuk mengambil sedikit masa untuk berehat sebelum tidur; contohnya mandi air suam, membaca buku atau mendengar muzik yang menenangkan. Ini adalah beberapa aktiviti santai yang boleh anda lakukan sebelum tidur.

    Sesetengah orang menulis senarai aktiviti yang perlu dilakukan sebelum tidur yang boleh membantu mengalihkan fikiran daripada perkara yang mereka perlu selesaikan esok.

  7. Hadkan Masa Skrin Sebelum Tidur

    Kurangkan pendedahan kepada peranti elektronik (telefon, tablet, komputer) sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu tidur. Cahaya biru yang dipancarkan oleh skrin boleh mengganggu pengeluaran hormon tidur melatonin.

Kesimpulannya, tidur yang nyenyak adalah kunci kepada kesejahteraan kesihatan dan keadaan mental anda secara keseluruhan. Tetapkan jadual tidur yang konsisten, buat rutin waktu tidur yang santai, optimumkan persekitaran tidur, berhati-hati dengan makanan dan minuman yang anda ambil, bersenam secara kerap, urus masa skrin atau hadkan masa skrin anda sebelum tidur.

Cubalah cara yang berkesan untuk anda. Ingat, kuncinya adalah konsisten. Tubuh anda mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan rutin tidur baharu, jadi bersabarlah dan kekalkan tabiat anda.

Aturkan Janji Temu Di Hospital Pantai

Jika masalah tidur seperti insomnia atau Obstructive Sleep Apnea (OSA) berterusan, aturkan janji temu dengan pakar ENT kami.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmen terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel Dicadangkan

Click to know more!