Tanda-tanda Awal Kehamilan yang Anda Perlu Tahu

Tanda-tanda awal kehamilan adalah berbeza bagi setiap wanita dan juga setiap kehamilan. Sesetengah wanita boleh mengenal pasti perubahan kepada keadaan badan mereka sebelum mereka sedar tentang kehamilan mereka, manakala wanita lain mungkin tidak boleh mengesan sebarang gejala kehamilan.

Namun begitu, ia adalah sangat penting untuk mengenal pasti tanda-tanda awal kehamilan untuk memastikan tumbesaran janin yang sihat.

Apakah Tanda-tanda Awal Kehamilan?

Berikut adalah senarai tanda-tanda awal kehamilan yang anda mungkin alami.

  1. Terlepas haid

    Terlepas haid adalah petanda yang paling biasa untuk kehamilan seandainya anda mempunyai kitaran haid yang normal. Dalam tempoh kehamilan awal, anda mungkin mengalami sedikit pendarahan yang menyerupai pendarahan haid ringan. Pendarahan ini boleh dikenal pasti sebgai tompok-tompok darah dan kehilangan darah minima yang dikenali sebagai pendarahan implantasi.

  2. Keletihan dan kelesuan

    Ramai wanita merasai kelesuan dalam tempoh kehamilan awal. Keletihan ini adalah disebabkan oleh tahap hormon progesteron yang meningkat. Kelesuan biasanya akan berkurang pada trimester kedua, iaitu selepas minggu ke-13 kehamilan. Walau bagaimanapun, kelesuan dan keletihan mungkin kembali pada trimester ketiga bagi kebanyakan wanita.

  3. Perubahan pada payudara

    Sepanjang tempoh kehamilan anda, payudara anda membesar dan lebih sensitif seakan sebelum kedatangan haid. Areola (kawasan sekitar puting) anda turut membesar dan menjadi semakin gelap. Saiz keseluruhan payudara anda juga mungkin bertambah dan ini menyebabkan coli anda lebih ketat daripada biasa.

  4. Muntah dan loya

    Mabuk hamil boleh terjadi pada bila-bila masa, tidak kira pagi atau malam. Ia biasanya bermula setelah tempoh kehamilan mencapai sebulan atau dua bulan. Walau bagaimanapun, sesetengah wanita mungkin mengalami mabuk hamil lebih awal dari itu, manakala sesetengah wanita lain langsung tidak mengalami mabuk hamil. Walaupun punca mabuk hamil dan loya ketika kehamilan tidak boleh dikenal pasti, hormon kehamilan mungkin memainkan peranan.

  5. Kerap buang air kecil

    Rahim yang semakin membesar akan meletakkan tekanan pada pundi kencing anda, lalu meningkatkan kekerapan membuang air kecil. Tambahan pula perubahan hormon di dalam badan anda akan menyebabkan peningkatan aliran darah kepada buah pinggang anda dan menggalakkan pengeluaran urin.

  6. Perubahan selera makan dan mengidam makanan tertentu

    Semasa kehamilan, perubahan hormon boleh menyebabkan peningkatan sensitiviti terhadap bau-bau tertentu, serta perubahan kepada deria rasa anda. Ini boleh menyebabkan cita rasa makanan anda berubah. Anda juga mungkin akan mengidam atau enggan makan makanan tertentu.

  7. Deria bau yang sensitif

    Antara petanda awal kehamilan adalah peningkatan deria bau anda. Wanita yang mengalami tanda ini mungkin mengalami kekurangan toleransi atau pengingkatan sensitiviti terhadap bau-bau tertentu. Tahap sensitif terhadap bau mungkin turut menyumbang kepada rasa loya dan muntah.

  8. Perubahan emosi

    Anda boleh juga mengalami perubahan emosi yang mendadak atas akibat perubahan hormon. Walaupun perubahan emosi adalah normal sepanjang tempoh kehamilan, adalah penting untuk menghubungi doktor anda jika anda merasa cemas, tertekan, ataupun mengalami keinginan untuk mencederakan diri sendiri.

Apakah Tanda-tanda Kehamilan Kembar?

Kehamilan kembar berlaku apabila terdapat dua janin di dalam rahim. Ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti sejarah keluarga, rawatan kesuburan ataupun sebarang faktor luaran dan dalaman yang lain.

Wanita yang bakal menyambut kedatangan kembar mungkin boleh mengenal pasti tanda-tanda kehamilan lebih awal atau lebih ketara akibat kenaikan hormon kehamilan yang mendadak berbanding kehamilan biasa.

Tanda-tanda kehamilan kembar ini termasuk muntah pada peringkat awal kehamilan, pedih ulu hati bengkak buku lali, sakit belakang, buasir dan urat varikos. Tambahan pula, anda mungkin juga mengalami:

  • Pergerakan janin awal.
  • Pergerakan janin serata rahim.
  • Ketinggian fundus lagi besar dari tahap kehamilan.
  • Kenaikan berat badan yang mendadak.

Apa yang Anda Patut Lakukan Kalau Anda Mengandung?

Jika haid anda lewat dan anda telah mendapat keputusan positif daripada ujian kehamilan yang anda lakukan di rumah, hubungilah doktor anda untuk mengaturkan pemeriksaan antenetal anda. Pemeriksaan antenatal memainkan perasan yang penting untuk memastikan kesihatan anda serta kandungan anda sepanjang perjalanan kehamilan anda.

Semasa anda membuat temu janji, doktor anda mungkin akan bertanya sama ada anda telah mula mengambil vitamin pra-kehamilan yang mengandungi asid folik. Vitamin pra-kehamilan memainkan peranan yang besar ketika peringkat permulaan kehamilan anda kerana ia membantu tumbesaran tiub saraf janin yang akan berkembang menjadi otak dan tulang belakang anak anda.

Mulakan pengambilan makanan seimbang yang mengandungi kandungan yang berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, protein tanpa lemak, dan bijirin penuh. Anda patut elakkan minuman keras, merokok, serta elakkan penggunaan sebarang dadah rekreasi kerana bahan-bahan ini berpotensi untuk mengakibatkan impak negatif terhadap proses tumbesaran janin anda.

Ketahui lebih lanjut tentang kepentingan penjagaan pra-kehamilan komprehensif, bila dan di mana untuk mendapatkan penjagaan pra-kehamilan terbaik.

Buat Temu Janji di Hospital Pantai

Kesedaran tentang tanda-tanda awal kehamilan membolehkan anda bersiap-sedia untuk menghadapi dan menguruskan kehamilan apabila tiba masanya. Hadiri temu janji pra-kehamilan yang kerap serta komunikasi terbuka bersama doktor anda adalah penting untuk memantau kesihatan anda dan menangani sebarang kerisauan sepanjang kehamilan anda.

Hubungi kami untuk membuat temu janji dengan pasukan pakar ginekologi kami hari ini, atau ketahui lebih lanjut mengenai Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pantai terdekat anda.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmen terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!