Kanser tiroid merupakan pertumbuhan sel-sel abnormal yang bermula dalam
tiroid. Kanser ini lebih kerap terjadi pada kaum wanita, dan biasanya
mereka yang berumur 30 hingga 60 tahun.
Apa itu kelenjar tiroid?
Kelenjar tiroid terletak di bahagian depan dan pada bawah leher. Kelenjar
kecil ini berbentuk rama-rama dengan lobus kiri dan lobus kanan yang
bersambung oleh penghubung halus yang dipanggil ismus. Bagi kebanyakan
orang, kelenjar tiroid yang normal tidak dapat dirasai atau dilihat.
Kelenjar tiroid menghasilkan hormon yang mempengaruhi cara badan
berfungsi. Hormon-hormon utama yang dihasilkan adalah T3 (triiodotironina)
dan T4 (tiroksin). Hormon ini mengawal kadar metabolisme, iaitu kadar
badan berfungsi. Contohnya, hormon-hormon ini mengawal pencernaan,
otot-otot, dan jantung.
Kelenjar tiroid turut menghasilkan hormon kalsitonin yang bertindak dengan
hormon paratiroid untuk mengawal jumlah kalsium dalam darah.
Apakah jenis-jenis kanser tiroid?
Empat jenis kanser tiroid yang utama adalah:
- Karsinoma papilari
- Karsinoma folikular
- Karsinoma tiroid medulari
- Karsinoma tiroid anaplastik
- Kanser tiroid papilari
Kanser ini adalah kanser tiroid yang paling biasa terjadi dan
merangkumi kira-kira 8 daripada 10 kes. Ia biasanya tumbuh dengan
perlahan. Namun, kanser ini boleh merebak kepada nodus limfa
berdekatan tiroid atau leher.
- Kanser tiroid folikular
Kanser ini merangkumi 4 daripada 100 kes kanser tiroid dan biasanya
ditemui dalam kalangan orang pertengahan umur dan khususnya wanita.
Kanser ini boleh merebak ke bahagian badan yang lain, seperti tulang
atau paru-paru.
- Kanser tiroid medulari
Kanser ini jarang berlaku dan merangkumi 2% daripada kes kanser
tiroid. Lebih kurang 25% daripada kanser tiroid medulari disebabkan
oleh gen rosak yang diwarisi. Ia boleh merebak ke bahagian badan yang
lain, seperti tulang atau paru-paru.
- Kanser tiroid anaplastik
Kanser yang paling jarang berlaku dan yang paling berbahaya, dengan
peratusan kurang daripada 1% daripada semua kes. Biasanya ditemui pada
golongan berumur dan khususnya pada wanita.
Apakah simptom bagi kanser tiroid?
Simptom bagi kanser tiroid bergantung pada peringkat kanser. Kebanyakan
simptom tidak ketara pada peringkat awal.
Antara simptom biasa bagi kanser tiroid termasuk:
- Ketulan di bahagian depan leher
- Suara serak
- Kesukaran menelan (disfagia)
- Kesukaran bernafas
- Rasa sakit pada kerongkong atau leher
- Kelenjar bengkak di leher
- Sakit kerongkong berterusan
Segera berjumpa doktor jika anda sudah lama mengalami simptom-simptom ini.
Kanser yang dikesan awal boleh dirawat dengan lebih berkesan.
Apakah faktor-faktor risiko bagi kanser tiroid?
Meskipun punca sebenar kanser tiroid masih belum diketahui, faktor-faktor
risiko berikut akan menambah risiko anda untuk mengalaminya.
- Golongan berumur
- Obesiti
- Penyakit tiroid benigna (bukan berkanser)
- Sejarah kanser tiroid dalam keluarga
- Wanita pada usia reproduktif
- Genetik: gen RET
- Terdedah kepada radiasi
Bagaimanakah kanser tiroid didiagnosis?

Diagnosis akan dibuat berdasarkan pelbagai siasatan. Doktor akan bertanya
tentang kesihatan umum dan simptom anda, serta menjalankan pemeriksaan
fizikal yang menyeluruh.
Ujian darah
| |
Imbasan ultrabunyi
| - Imbasan ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi bagi
menghasilkan imej dalaman badan.
- Ketulan di leher yang mungkin disebabkan oleh kanser boleh
dikesan melalui ultrabunyi.
|
Biopsi
| - Jika tumor disyaki wujud, biopsi tiroid akan dilakukan untuk
mengesahkan diagnosis itu.
- Sampel tisu daripada ketulan itu akan diambil menggunakan
jarum dan picagari. Prosedur ini dipanggil aspirasi jarum
halus.
- Sampel tisu itu kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk
diperiksa.
|
Imbasan tomografi berkomputer (CT)
| - Imbasan CT menggunakan X-ray dan komputer bagi menghasilkan
imej dalaman badan yang lebih terperinci.
- Ia membantu menentukan tahap penyebaran kanser tiroid.
|
Pengimejan resonans magnetik (MRI)
| - MRI menggunakan gelombang radio dan magnet untuk menghasilkan
imej dari semua sudut badan dan menggambarkan tisu lembut
dengan jelas.
- Ia membantu menentukan tahap penyebaran kanser, termasuk
bahagian abnormal pada nodus limfa di leher anda.
|
Apakah peringkat-peringkat kanser tiroid?
Peringkat kanser dapat membantu menentukan tahap penyebaran kanser dan
jenis rawatan yang terbaik. Peringkat kanser tiroid dikelaskan menurut
sistem pemeringkatan Tumor, Nodus, Metastasis (TNM) berdasarkan jenis
tumor.
- T: saiz tumor
- N: kanser telah merebak ke nodus limfa
- M: kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain
Ia bermula daripada peringkat 1 ke 4, iaitu lebih tinggi peringkatnya,
maka lebih jauh kanser telah merebak.
Apakah pilihan rawatan untuk kanser tiroid?
Rawatan bagi kanser tiroid bergantung pada jenis dan peringkat kanser.
Terapi utama yang digunakan adalah pembedahan, rawatan iodin radioaktif,
terapi hormon, radioterapi, kemoterapi, dan terapi sasaran.
Pembedahan
| - Bergantung pada lokasi dan saiz tumor:
- Tiroidektomi total: seluruh tiroid dibuang
- Tiroidektomi separa/lobektomi: sebahagian tiroid dibuang
|
Rawatan iodin radioaktif
| - Sejenis radioterapi dalaman
- Sering disyorkan selepas pembedahan bagi mematikan baki sel
kanser
- Pesakit akan diminta menelan iodin radioaktif (cecair atau
kapsul). Iodin itu akan beredar dalam darah untuk mematikan
sel-sel kanser.
|
Terapi hormon tiroid
| - Terapi hormon tiroid mungkin diberikan selepas pembedahan
untuk menggantikan hormon yang dihasilkan oleh tiroid anda
- Sebahagian daripada rawatan bagi kanser tiroid
- Tiroksin (T4) atau liotironin (T3)
|
Terapi sasaran
| - Terapi sasaran merangkumi ubat-ubatan yang diberikan untuk
menyekat perkembangan kanser tiroid peringkat lanjut.
- Penyekat tirosina kinase (TKI)
|
Radioterapi luaran
| - Radioterapi luaran menggunakan radiasi bertenaga tinggi
daripada mesin radioterapi untuk mengecutkan tumor dan
mematikan sel-sel kanser.
|
Kemoterapi
| - Kemoterapi adalah rawatan kanser yang menggunakan ubat-ubatan
poten untuk mematikan sel kanser.
- Tidak selalunya digunakan untuk kanser tiroid kecuali ia telah
merebak ke bahagian badan yang lain
|
Bagaimana cara untuk mengurangkan risiko kanser tiroid?
Untuk mengurangkan risiko kanser tiroid, elakkan pendedahan kepada radiasi
yang tidak diperlukan, termasuk prosedur pengimejan perubatan, khususnya
pada kanak-kanak dan pada bahagian kepala dan leher.
Apakah prognosis bagi kanser tiroid?
Kadar hidup lima tahun bagi pesakit kanser tiroid adalah kira-kira 90%.
Majoriti pesakit ini akan sembuh dan boleh menikmati jangka hayat yang
normal.
Namun, prognosis akan berubah bergantung pada jenis dan peringkat kanser
tiroid. Kanser yang dikesan awal mempunyai prognosis yang lebih baik.
Sekarang ini, prospek bagi kadar hidup lima tahun adalah:
- 90% untuk pesakit karsinoma papilari dan folikular
- 70% untuk lelaki dan 90% untuk wanita dengan karsinoma tiroid medulari
- 10% untuk pesakit dengan karsinoma tiroid anaplastik
Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai
Pengesanan awal kanser tiroid akan memudahkannya dirawat dengan berkesan
melalui rawatan yang sesuai. Pasukan ahli onkologi yang berdedikasi di
Hospital Pantai sedia memberikan rundingan dan menyediakan pesakit dengan
penjagaan dan bantuan terbaik dalam menyaring, mendiagnosis dan merawat
kanser.
Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini
jika anda mempunyai sebarang faktor risiko dan simptom di atas, atau
apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser.
Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan
Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan
kualiti perkhidmatan.
Referensi
- Quang T. Nguyen, Eun Joo Lee, Melinda Gingman Huang, Young In Park,
Aashish Khullar dan Raymond A. Płotkowski (8 Feb 2015) Diagnosis dan
Rawatan bagi Pesakit Kanser Tiroid, Tersedia di
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4415174/[Accessed 14 Mar
2022]
- Jatin P. Shah (13 April 15) Karsinoma Tiroid: Epidemiologi, Histologi,
dan Diagnosis, Tersedia di
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5526593/
[Accessed 14 Mar 2022]
- James A. Fagin dan Samuel A. Wells (15 Sep 16) Perspektif Biologi dan
Klinikal tentang Kanser Tiroid, Tersedia di
https://www.nejm.org/doi/10.1056/NEJMra1501993
[Accessed 14 Mar 2022]
- Quang T Nguyen, Eun Joo Lee, Melinda Gingman Huang, Young In Park,
Aashish Khullar, Raymond A Plodkowski (8 Feb 2015) Diagnosis dan rawatan
bagi pesakit kanser tiroid, Tersedia di
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/25964831/
[Accessed 14 Mar 2022]
- Y E Nikiforov, J A Fagin (8 Feb 1997) Faktor risiko bagi kanser tiroid,
Tersedia di
https://www.cell.com/trends/endocrinology-metabolism/fulltext/S1043-2760(96)00204-4?_returnURL=https%3A%2F%2Flinkinghub.elsevier.com%2Fretrieve%2Fpii%2FS1043276096002044%3Fshowall%3Dtrue
[Accessed 14 Mar 2022]
- Concetto Regalbuto, Francesco Frasca, Gabriella Pellegriti, Pasqualino
Malandrino, Ilenia Marturano, Isidoro Di Carlo, Vincenzo Pezzino (8 Okt
12) Kemas kini tentang rawatan kanser tiroid, Tersedia di
https://www.futuremedicine.com/doi/10.2217/fon.12.123
[Accessed 14 Mar 2022]
- Artikel WHO tentang kanser tiroid, Tersedia di
https://www.iarc.who.int/news-events/thyroid-cancer-incidence-trends-by-histology-in-25-countries-a-population-based-study/
[Accessed 14 Mar 2022]