Topics
Apakah itu payudara bengkak?
Pembengkakan payudara adalah kondisi di mana payudara menjadi bengkak selepas bersalin. Ia berlaku apabila badan ibu beralih daripada peringkat pertama penyusuan yang bermula semasa kehamilan ke peringkat kedua yang bermula beberapa hari selepas bersalin, iaitu masa pengeluaran susu bermula.
Proses ini melibatkan peningkatan aliran darah dan limfa ke payudara; keadaan ini meningkatkan paras cecair di antara tisu payudara lalu menyebabkan rasa sakit dan simptom lain. Biasanya, kedua-dua belah payudara akan terlibat dan anda merasai ketidakselesaan, bengkak dan kesakitan.
Pembengkakan payudara selepas bersalin hanyalah sementara. Simptom yang paling teruk memuncak sekitar lima hari selepas bersalin dan biasanya mula reda menjelang dua minggu selepas bersalin.
Apakah punca payudara bengkak?
Beberapa faktor boleh menyebabkan payudara bengkak yang anda patut tahu jika anda seorang ibu menyusu.
Bayi anda tidak melekap dengan baik
Jika bayi tidak melekap pada payudara anda dengan sempurna semasa menyusu, anda mungkin mengalami pembengkakan payudara. Terdapat beberapa faktor yang boleh menjejaskan keupayaan bayi untuk menghisap dan menyusu dengan berkesan, iaitu keadaan kesihatan dan isu “mekanikal” seperti tongue-tie, bibir atau lelangit sumbing. Jika bayi anda tiada masalah tersebut, menyusu adalah kemahiran yang dibentuk bersama-sama ibu dan bayi dari semasa ke semasa.
Bayi anda tidak menyusu dengan kerap
Pembengkakan payudara boleh berlaku pada hari-hari awal apabila anda dan bayi anda masih menyesuaikan diri dengan menyusu. Biasanya ia mengambil masa beberapa hari untuk bekalan susu anda sejajar dengan keperluan bayi anda. Pembengkakan payudara mungkin juga berlaku apabila bayi anda membesar dan kurang kerap menyusu apabila mula makan makanan pejal.
Jadual penyusuan yang tidak konsisten
Jadual penyusuan yang tidak konsisten mungkin menyumbang kepada pembengkakan payudara kerana ia biasanya berlaku kerana bayi tidak menyusu dengan cukup kerap, iaitu sekurang-kurangnya lapan kali setiap 24 jam.
Apakah komplikasi yang mungkin berlaku akibat kebengkakan payudara?
Terdapat beberapa komplikasi yang berkaitan dengan pembengkakan payudara jika ia tidak dirawat.
- Jika saluran susu yang tersumbat tidak dirawat, ia boleh menyebabkan keradangan yang dikenali sebagai mastitis. Keadaan ini menyebabkan payudara terasa sakit dan bengkak, disertai dengan simptom seperti selesema yang boleh menyebabkan anda berasa kurang selesa. Mastitis mungkin memerlukan rawatan antibiotik kerana ia boleh bertukar menjadi jangkitan. Jika mastitis tidak dirawat, atau jika ia tidak bertindak balas kepada rawatan, ia boleh berkembang menjadi abses payudara, yang mungkin memerlukan pembedahan untuk mengeluarkan nanah.
- Jangkitan seriawan kadangkala boleh berlaku apabila puting payudara menjadi retak. Ini menyebabkan kulat candida yang berpotensi masuk ke dalam puting atau payudara anda. Jika anda mengesyaki anda atau bayi anda mempunyai jangkitan sariawan, sila berjumpa doktor anda dengan segera.
Bagaimana cara untuk merawat payudara bengkak?
Berikut adalah beberapa cara untuk melegakan payudara bengkak dan menjadikan diri anda lebih selesa.
- Mandi air suam atau menuam payudara sejurus sebelum menyusu atau memerah susu boleh membantu meredakan ketidakselesaan dan menggalakkan pengaliran susu. Hadkan kepada beberapa minit sahaja kerana haba yang berlebihan boleh memburukkan kebengkakan.
- Guna tuam sejuk atau pek ais pada payudara untuk melegakan kesakitan dan bengkak.
- Pembengkakan payudara akan semakin berkurang apabila payudara anda sudah biasa diisi dan dikosongkan semasa menyusu. Susukan bayi dengan lebih kerap untuk membantu mencegah pembengkakan yang serius dan mengurangkan ketidakselesaan.
- Tingkatkan sesi penyusuan kepada kira-kira lapan hingga 12 kali sehari. Perhatikan isyarat apabila bayi anda ingin menyusu dan bukannya mengikut jadual yang ketat. Elakkan jadual penyusuan tetap atau menunggu sehingga mereka menangis akibat kelaparan sebelum menyusu. Dengan demikian, anda boleh memastikan bayi anda menerima nutrien yang secukupnya, dan pembengkakan payudara boleh dikurangkan.
- Semasa bayi anda menyusu, urut payudara dengan lembut untuk menggalakkan pengaliran susu dan membantu melegakan ketidakselesaan. Selain itu, anda boleh menggunakan reverse pressure softening (RPS), yang melibatkan tekanan lembut di sekitar satu atau dua inci dari areola, iaitu bahagian gelap puting. Tekanan lembut ke arah belakang dan ke atas pada payudara boleh memindahkan kebengkakan dari areola, agar boleh memudahkan bayi anda melekap.
- Tukar posisi penyusuan dengan menyusukan bayi anda dalam posisi baring. Kedudukan ini boleh membantu bayi anda melekap dengan lebih selesa apabila payudara anda bengkak.
- Ubah giliran payudara yang mana bayi anda menyusu terlebih dahulu pada setiap penyusuan, dan biarkan bayi anda selesai menyusu pada satu belah payudara sebelum beralih kepada yang kedua. Proses ini biasanya akan mengambil masa antara 10 dan 20 minit.
Bagaimana cara untuk mengurangkan payudara daripada membengkak secara berulang?
Doktor anda akan memberi nasihat tentang cara-cara berkesan untuk mengurangkan payudara bengkak.
1. Elakkan mengepam berlebihan
Mengepam berlebihan untuk meredakan pembengkakan boleh memburukkan lagi gejala anda. Ianya adalah tanggapan yang salah bahawa anda perlu sentiasa menyusu bayi anda atau mengosongkan payudara untuk merawat bengkak. Jika payudara anda selalu kosong, badan anda akan menghasilkan lebih banyak susu, dan ini akan menyebabkan pembengkakan yang lebih kerap dan bukannya berkurang.
Doktor anda mungkin mengesyorkan anda menggunakan pam manual (bukan elektrik) untuk mengeluarkan hanya sedikit susu. Sebagai alternatif, anda boleh menggunakan ekspresi tangan. Memerah sedikit susu mungkin memberi anda sedikit kelegaan, tetapi adalah penting untuk mematuhi nasihat doktor anda. Elakkan mengepam secara berlebihan atau mengosongkan payudara anda sepenuhnya.
2. Tuam dengan daun kubis sejuk
Daun kubis sejuk boleh digunakan untuk menuam payudara bengkak. Walaupun kajian telah menunjukkan bahawa rawatan ini boleh membantu wanita melegakan kesakitan payudara, mengurangkan kekerasan dan meningkatkan tempoh penyusuan, terdapat beberapa kajian lain yang melaporkan bahawa rawatan ini tidak berkesan.
3. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan seperti ibuprofen dan acetaminophen boleh mengurangkan kesakitan dan keradangan. Ikuti panduan doktor anda tentang penggunaan ubat.
4. Saliran limfa manual
Saliran limfa secara manual ialah teknik urutan lembut yang dilakukan oleh doktor untuk meningkatkan aliran limfa dalam payudara anda. Ini boleh membantu mengurangkan bengkak. Teknik lembut ini dimulakan dengan urutan bulatan kecil di bawah lengan dan di atas klavikula, diikuti dengan gerakan menyapu lembut dari puting ke kawasan bawah lengan dan klavikula, di mana nodus limfa membantu mengalirkan cecair. Doktor anda mungkin juga mengajar anda untuk melakukan teknik ini di rumah.
5. Reverse pressure softening
Reverse pressure softening adalah teknik yang menggunakan tekanan lembut dan konsisten di sekitar areola anda. Ini membantu memindahkan cecair dari puting, dan juga menjadikannya lebih mudah untuk bayi anda melekap. Doktor anda akan membimbing anda dalam penggunaan teknik ini, dan anda boleh meneruskannya sendiri di rumah. Sebaik-baiknya, anda boleh menggunakan teknik ini selama satu hingga tiga minit sebelum setiap sesi penyusuan atau selagi dinasihati oleh penjaga kesihatan anda.
6. Memakai coli dengan sokongan
Memakai coli dengan sokongan adalah penting pada masa ini, kerana ia memberikan tekanan yang stabil untuk membantu mengekalkan pergerakan cecair dalam payudara anda. Doktor anda juga mungkin mengesyorkan jenis-jenis bra yang tertentu untuk anda.
Read more: Correct Breastfeeding Techniques
Atur janji temu di Hospital Pantai
Walaupun pembengkakan payudara mungkin biasa di kalangan ibu, ia tidak boleh dipandang ringan kerana keadaan ini boleh memudaratkan jika tidak dirawat. Sentiasa berjumpa dengan doktor anda jika anda melihat perubahan pada payudara anda, dan jangan teragak-agak untuk membincangkan keadaan anda secara terbuka dengan mereka. Doktor anda akan mencadangkan rawatan yang paling sesuai untuk mengurangkan keadaan anda.
Jika anda menghadapi cabaran atau memerlukan bantuan berkenaan penyusuan, buat temu janji dengan pasukan Perunding Pediatrik dan Perunding Laktasi di Hospital Pantai yang berhampiran dengan anda hari ini.
Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.