Topics
Susu ibu atau ‘liquid gold’ adalah sumber nutrisi penting untuk bayi. Sepanjang pengalaman menyusu, ramai ibu mendapati diri mereka perlu memerah susu (dengan menggunakan pam payudara) sebagai simpanan untuk kegunaan masa hadapan.
pakah yang perlu saya lakukan sebelum dan selepas mengepam susu?
Sebelum mengepam atau mengendalikan susu ibu:
- Basuh tangan anda dengan sabun dan air.
- Periksa kebersihan kit dan tiub pam susu.
- Gantikan tiub dengan segera jika kulat ditemui.
Selepas mengepam susu ibu
- Bilas pam dan bahagian terlibat dengan air mengalir untuk membilas saki-baki susu. Jangan basuh di dalam singki kerana ia mungkin menyebabkan pencemaran daripada bakteria.
- Selepas membilas, anda boleh basuh bahagian pam yang bersentuhan dengan payudara anda dalam dishwasher jika ia selamat untuk digunakan.
- Anda juga boleh membasuh pam dengan air panas dan sabun di dalam singki bersih (yang hanya digunakan untuk membersihkan bahagian pam sahaja).
- Selepas membasuh, bilas semua bahagian pam dengan sepenuhnya di bawah air yang mengalir.
- Biarkan bahagian pam kering sendiri di atas tisu atau kain yang bersih.
- Gunakan tangan yang bersih semasa menyimpan bahagian pam yang telah kering di tempat yang bersih dan terlindung untuk menjaga kebersihan.
Bagaimana cara menyimpan susu ibu yang diperah?
- Gunakan bekas yang sesuai.
- Susu yang diperah boleh disimpan di dalam bekas yang bersih dan tertutup yang diperbuat daripada kaca atau plastik keras gred makanan yang tidak mengandungi Bisphenol A (BPA). Bekas kaca lebih sesuai untuk penyimpanan jangka panjang kerana ia tidak melarutkan bahan kimia. Bekas plastik adalah untuk tempoh penyimpanan yang lebih pendek.
- Beg plastik khas untuk penyimpanan susu ibu juga bagus kerana ia mudah digunakan dan jimat ruang. Pastikan ia direka khusus untuk penyimpanan susu ibu.
- Elakkan beg plastik yang direka untuk kegunaan umum rumah kerana ia boleh mencemari susu dan menjadikannya tidak sesuai untuk diminum.
- Simpan dalam kuantiti kecil.
- Susu harus disimpan dalam kuantiti kecil sebanyak 2 hingga 4 auns (60-120ml) untuk mengelakkan pembaziran.
- Catat tarikh setiap perahan pada bekas.
- Gunakan label dan dakwat kalis air untuk menulis tarikh pada bekas yang anda guna untuk menyimpan susu yang dipam..
- Tulis nama bayi anda pada label untuk pengenalan jika anda menyimpan susu di pusat penjagaan bayi.
- Simpan bekas susu ibu di dalam peti sejuk atau peti beku.
- Letakkan bekas di bahagian belakang peti sejuk atau peti beku, di mana suhunya adalah konsisten.
- Jika anda tiada akses kepada peti sejuk atau peti beku, anda boleh menyimpan susu secara sementara dalam penyejuk bertebat yang mengandungi pek ais.
Apakah tempoh penyimpanan untuk susu yang dipam?
Menurut CDC, susu ibu boleh disimpan dengan selamat dengan tempoh yang berbeza bergantung kepada cara penyimpanan. Anda perlu memantau tempoh penyimpanan susu ibu untuk memastikan bayi anda tidak meminum susu yang basi.
- Suhu bilik: Susu yang baru diperah atau dipam boleh disimpan dalam suhu bilik sehingga 4 jam pada suhu 25°C atau lebih sejuk. Gunakan dalam masa 2 jam jika suhu bilik melebihi 25°C.
- Di dalam peti sejuk: Susu ibu yang disimpan di dalam peti sejuk boleh bertahan sehingga 4 hari apabila disimpan pada suhu 4°C. Simpan di bahagian belakang peti sejuk yang tidak mengalami perubahan susu. Apabila susu telah dikeluarkan dari peti sejuk dan dihangatkan, ia harus diminum dalam masa 1 hingga 2 jam. Buang susu yang tidak dihabiskan selepas tempoh masa ini kerana ia telah dicemari.
- Di dalam peti beku: Susu ibu yang disimpan di dalam peti beku harus disimpan pada suhu -18°C atau lebih sejuk. Susu ibu beku boleh digunakan dengan selamat dalam tempoh 6 bulan.
Bagaimana cara mengendalikan susu ibu beku?
- Jangan membekukan semula susu ibu: Anda tidak boleh membekukan semula susu ibu selepas ia dicairkan. Susu ibu perlu digunakan atau dibuang selepas disimpan di dalam peti sejuk selama empat hari. Susu ibu mempunyai sifat yang menghalang pertumbuhan bakteria berbahaya. Sifat-sifat ini mula berkurang selepas beberapa hari disimpan di dalam peti sejuk. Jika anda rasa anda tidak akan menggunakan susu ibu dalam beberapa hari, adalah disarankan untuk menyimpannya dalam keadaan beku.
- Elakkan daripada mencampurkan susu ibu beku dan segar: Mencampurkan susu ibu yang baru diperah dengan susu yang sudah disejukkan atau dibekukan tidak disarankan kerana ia boleh menghangatkan susu yang telah disimpan lama. Jika perlu, sejukkan susu yang baru diperah secara berasingan sebelum mencampurkannya dengan susu yang lebih lama, telah disejukkan atau dibekukan.
- Gunakan susu ibu beku dalam tempoh enam bulan: Walaupun lebih baik untuk menggunakan susu ibu beku dalam tempoh 6 bulan, ia masih boleh disimpan di dalam peti beku (pada suhu 0°F / -17.778°C atau lebih sejuk) sehingga 12 bulan.
Bagaimana cara mencairkan susu ibu dengan betul?
- Utamakan susu yang paling lama disimpan: Untuk mencairkan susu beku, letakkan bekas susu beku di dalam peti sejuk pada malam sebelumnya.
- Elakkan daripada menggunakan ketuhar gelombang mikro: Jangan panaskan botol susu ibu beku dalam ketuhar gelombang mikro atau dapur memasak (stove). Pemanasan susu dengan terlampau cepat boleh mengakibatkan suhu yang tidak sekata dan tompokan campuran susu panas and sejuk. Ketuhar gelombang mikro boleh merosakkan nutrien dalam susu ibu.
- Panaskan susu secara perlahan: Rendam susu di dalam mangkuk berisi air suam untuk memanaskannya secara perlahan sebagai alternatif.
- Jangan goncang susu dengan kuat: Susu ibu akan terpisah kerana ia tidak bersifat homogenus. Ini bermaksud krim akan terapung ke permukaan. Putarkan bekas dengan berhati-hati untuk menggabungkan krim kembali sebelum memberi susu kepada bayi anda. Jangan menggoncang susu dengan kuat kerana ini boleh memecahkan protein yang penting untuk sistem pencernaan bayi.
- Buang susu yang tidak diminum: Jika bayi anda tidak menghabiskan susu dalam botol, baki susu harus digunakan dalam tempoh 2 jam. Buang susu yang tinggal jika telah melebihi 2 jam.
Bagaimana mengenal pasti susu ibu yang basi?
Susu ibu boleh menjadi basi sama seperti susu lain. Ia menghasilkan bau yang hanyir dan masam. Susu ibu tidak boleh diselamatkan apabila ia telah basi. Anda boleh menghirup sedikit untuk menentukan sama ada ia basi atau tidak.
Bagaimana cara menyimpan susu ibu semasa dalam perjalanan?
Jika anda perlu membawa susu ibu yang diperah dalam perjalanan, anda harus merancang dengan teliti. Mod pengangkutan seperti kapal terbang, kereta, kereta api, atau bas akan menentukan pelan mana yang anda perlu ikuti.
Susu yang baru diperah boleh disimpan sejuk dalam beg penyejuk bertebat dengan pek ais sehingga 24 jam. Sebaik sahaja anda tiba, anda boleh menggunakannya dengan segera, menyimpannya di dalam peti sejuk, atau membekukannya. Simpan susu ibu dalam bekas bertutup rapat dan bersih di belakang peti sejuk untuk memastikan suhu yang konsisten.
Jika anda membawa susu beku di dalam beg penyejuk bertebat atau beg terma dengan pek gel beku atau ais, periksa keadaan susu apabila anda sampai ke destinasi. Jika terdapat kristal ais dalam susu, anda masih boleh membekukannya untuk kegunaan kemudian. Untuk perjalanan jauh, gunakan ais tambahan atau pek gel beku untuk memastikan suhu susu kekal cukup sejuk.
Jika susu ibu yang beku sebelum ini telah cair sepenuhnya, pastikan ia disimpan dalam keadaan sejuk dan gunakannya dalam masa 24 jam. Masa pencairan akan berbeza mengikut tempoh perjalanan dan suhu beg penyejuk. Jika boleh, periksa susu sekali sekala untuk menentukan sama ada ia telah cair.
Bagaimana cara menyimpan susu ibu di tempat kerja?
Anda boleh menyimpan susu ibu anda di dalam peti sejuk tempat kerja atau sediakan beg penyejuk bertebat.
- Di dalam peti sejuk: Anda boleh simpan susu ibu di dalam peti sejuk yang sesuai untuk menyimpan makanan.
- Di dalam beg penyejuk bertebat: Susu yang baru diperah boleh disimpan dan dibawa bersama dalam beg penyejuk bertebat dengan pek ais sehingga 24 jam. Simpan susu di dalam beg penyejuk dengan segera supaya ia berada dalam suhu yang sesuai. Gunakan susu itu dengan segera, simpan di dalam peti sejuk, atau bekukannya sebaik sahaja anda sampai di rumah.
Pastikan anda sentiasa melabel bekas susu ibu anda dengan nama anda dan tarikh perahan. Selain itu, anda juga boleh melabel penyejuk anda dengan nama dan maklumat hubungan untuk tujuan pengenalan.
Atur janji temu di Hospital Pantai
Untuk bimbingan dan sokongan pakar tentang penyusuan dan pengepaman, buat temu janji dengan pasukan Perunding Pediatrik dan Perunding Laktasi di Hospital Pantai yang berhampiran dengan anda hari ini.
Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.
Artikel ini telah disemak secara perubatan oleh Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Dr Livia Chow Huey Ling.