15 Tanda-tanda Menopaus Wanita

Apakah Menopaus?

Menopaus adalah proses semula jadi yang dialami oleh semua wanita, dan walaupun pengalaman setiap wanita dengan menopaus adalah berbeza; seorang wanita dianggap postmenopaus apabila dia tidak mengalami haid selama 12 bulan berturut-turut.

Semasa menopaus, ramai wanita akan mengalami simptom fizikal seperti panas badan (hot flashes), dan selalunya simptom yang berkaitan dengan menopaus boleh mendatangkan gangguan kepada kitaran tidur, mengurangkan tenaga atau menjejaskan kesihatan emosi anda.

Mengapakah Menopaus Berlaku?

Menopaus adalah fenomena yang berlaku secara semula jadi dalam kehidupan wanita. Ianya berlaku akibat kehilangan fungsi folikel ovari dan penurunan tahap estrogen yang beredar dalam aliran darah.

Peralihan menopaus pada wanita biasanya bermula antara umur 45 dan 55, tetapi ia boleh berlaku lebih awal bergantung kepada individu.

Apakah Peringkat-peringkat Menopaus?

Menopaus semula jadi menunjukkan berakhirnya haid yang kekal yang berlaku tanpa sebarang rawatan perubatan. Terdapat tiga peringkat menopaus yang setiap wanita secara beransur-ansur mengalami dalam sepanjang hidup mereka:

  1. Perimenopaus (Pra menopaus)

    Perimenopaus, juga dikenali sebagai “menopaus peralihan,” biasanya bermula pada usia 40-an anda. Proses ini boleh bermula sekitar lapan hingga 10 tahun sebelum menopaus, di mana ovari anda secara beransur-ansur menghasilkan estrogen yang lebih sedikit.

    Perimenopaus berlanjutan sehingga menopaus, iaitu peringkat apabila ovari anda berhenti mengeluarkan telur. Dalam tempoh satu hingga dua tahun terakhir perimenopause, penurunan estrogen akan menjadi semakin cepat. Ramai individu mungkin boleh mula mengalami simptom menopaus dalam tempoh masa ini. Walau bagaimanapun, kitaran haid anda masih akan berterusan, dan anda juga masih mempunyai kebolehan untuk hamil pada masa ini.

  2. Menopaus

    Menopaus adalah peringkat di mana anda tidak lagi mengalami haid. Ovari anda akan berhenti mengeluarkan telur dan menghasilkan kebanyakan estrogennya pada ketika ini. Doktor anda biasanya mendiagnosis anda mengalami menopaus apabila haid anda tidak hadir selama 12 bulan berturut-turut.

  3. Pasca menopaus

    Pasca menopaus (post-menopause) merujuk kepada masa apabila anda terlepas haid sepanjang tahun atau sepanjang hayat anda selepas menopaus. Simptom menopaus seperti panas badan mungkin bertambah baik.

    Namun demikian, sesetengah simptom menopaus wanita masih berterusan selama satu dekad atau lebih lama selepas peralihan menopaus. Wanita dalam fasa menopaus menghadapi peningkatan risiko beberapa kesakitan, termasuk osteoporosis dan penyakit jantung akibat penurunan paras estrogen.

Apakah Tanda-tanda Menopaus?

Jika anda mengalami mana-mana tanda ini, anda mungkin sedang beralih ke peringkat menopaus:

1. Kitaran haid yang tidak teratur

Tempoh haid yang biasa adalah selama empat hingga tujuh hari dan mempunyai kitaran kira-kira 28 hari. Contoh-contoh haid yang tidak teratur termasuk kitaran yang kurang daripada setiap 21 hari atau lebih daripada setiap 35 hari, terlepas tiga atau lebih haid secara berturut-turut, dan aliran haid yang lebih berat atau ringan daripada yang biasa.

2. Perubahan kesuburan

Kesuburan tertinggi wanita adalah antara umur lewat remaja dan lewat 20-an. Apabila anda mencapai usia 30 tahun, kesuburan (keupayaan untuk hamil) mula merosot, menjadikannya lebih sukar untuk anda hamil. Penurunan ini semakin meningkat apabila anda memasuki pertengahan 30-an sehingga anda mencapai umur 45 tahun. Kesuburan akan merosot begitu banyak sehingga ke tahap yang tidak lagi mungkin untuk hamil secara semula jadi.

3. Intoleransi haba

Peningkatan haba badan yang juga dikenali sebagai panas badan(hot flashes) merupakan lonjakan suhu badan secara tiba-tiba, yang disertai dengan peluh, dan ketidakselesaan. Panas badan adalah simptom biasa menopaus, tetapi pengalaman setiap orang tentang panas badan boleh berbeza-beza dari segi intensiti dan tempoh masa.

4. Gangguan tidur

Gangguan tidur merujuk kepada keadaan di mana keselesaan dan aktiviti harian anda terjejas secara negatif akibat tidur yang kurang baik, kekurangan tidur, ataupun mengalami masalah untuk lelap.

5. Perubahan pada faraj

Salah satu perubahan yang paling biasa dalam faraj apabila anda mengalami peringkat menopaus adalah kekeringan faraj. Ia adalah simptom yang menyakitkan dan juga boleh menjejaskan gaya hidup wanita. Kekeringan faraj boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan semasa duduk, bersenam, kencing dan melakukan hubungan intim.

6. Masalah kencing

Masalah air kencing berkaitan dengan masalah pundi kencing, juga dipanggil inkontinens. Anda mungkin mengalami keinginan untuk membuang air kecil secara tiba-tiba, atau air kencing mungkin bocor semasa aktiviti seperti bersenam, bersin atau ketawa. Langkah awal dalam merawat masalah inkontinens ialah untuk berjumpa doktor. Jangkitan pundi kencing juga boleh menjadi kebimbangan pada pertengahan umur.

7. Perubahan emosi

Anda mungkin mengalami beberapa perubahan emosi semasa tempoh menopaus yang boleh membawa kepada emosi yang tidak stabil seperti kerengsaan, perubahan mood, atau kemurungan ringan.

8. Perubahan pada kulit dan rambut

Peringkat menopaus boleh menyebabkan anda mengalami perubahan pada kulit dan rambut. Kulit, mata dan mulut anda mungkin terasa kering. Anda mungkin juga mengalami keguguran dan penipisan rambut.

9. Mengalami penurunan libido dan kepuasan seksual

Estrogen anda akan berkurang dengan cepat semasa mengalami menopaus, ini boleh menyebabkan kesan yang besar seperti penurunan libido dan kepuasan seksual anda. Ia boleh mengurangkan keinginan anda untuk melakukan hubungan seksual dan menjadikannya lebih sukar untuk anda terangsang.

10. Peningkatan berat badan

Perubahan hormon semasa menopaus selalunya meningkatkan kemungkinan penambahan berat badan di sekitar perut, bukannya di pinggul dan paha. Walau bagaimanapun, anda perlu ketahui bahawa perubahan hormon sahaja mungkin bukan satu-satunya punca kenaikan berat badan anda.

11. Sakit-sakit badan

Jika anda mengalami sakit-sakit badan terutama sakit-sakit sendi dan otot, ia berkemungkinan adalah simptom menopaus. Estrogen memainkan peranan penting kerana ia memberi kesan kepada rawan anda (iaitu tisu penghubung pada sendi) bersama-sama dengan penggantian tulang, menyebabkan keradangan dan kesakitan.

12. Sakit payudara

Mastalgia adalah istilah perubatan untuk sakit payudara, dan merupakan pengalaman yang sangat biasa semasa haid. Sakit payudara semasa menopaus akan berasa sedikit berbeza jika dibandingkan kesakitan payudara yang dialami semasa haid. Sesetengah wanita mungkin berasa sakit terbakar atau berdenyut di payudara mereka dan bukannya sakit yang biasa.

13. Sakit kepala atau migrain

Migrain yang berkaitan dengan perubahan hormon boleh menjadi lebih kerap dan teruk dalam tempoh menjelang perimenopaus. Sesetengah wanita melihat peningkatan dalam migrain mereka apabila haid mereka berhenti. Walau bagaimanapun, sakit kepala tegangan sering bertambah teruk. Jika sakit kepala anda berterusan, anda mungkin boleh terus menggunakan ubat anda atau memilih terapi lain.

14. Osteoporosis

Osteoporosis adalah disebabkan oleh kekurangan hormom estrogen; menopaus menyebabkan pengeluaran estrogen berkurang dalam badan anda lalu mengakibatkan kehilangan ketumpatan tulang. Anda mungkin tidak mengalami sakit sendi atau tulang patah, namun itu tidak bermakna anda terlindung daripada risiko osteoporosis. Simptom osteoporosis tidak muncul kecuali anda patah tulang.

15. Risiko kardiovaskular

Hormon estrogen mempunyai kesan perlindungan ke atas jantung anda. Ia membantu mengawal tahap kolesterol anda dan mengurangkan risiko lemak terkumpul dalam arteri anda. Ia juga membantu menjaga kesihatan salur darah anda. Jika tahap estrogen berkurang, lemak mungkin akan terkumpul dalam arteri anda lalu menyebabkannya menjadi lebih sempit. Ini meningkatkan risiko hipertensi, penyakit jantung koronari atau strok.

Perlukah Menopaus Dirawat?

Memandangkan menopause adalah proses semulajadi yang perlu dialami oleh setiap wanita, rawatan mungkin tidak diperlukan dalam kebanyakan masa. Jika anda berbincang dengan doktor anda tentang pilihan rawatan menopaus, ia lebih kepada merawat simptom menopaus yang mengganggu kehidupan anda.

  1. Terapi Penggantian Hormon (TPH)

    TPH adalah rawatan yang selamat dan berkesan bagi majoriti wanita yang mengalami menopaus dan perimenopaus. Doktor anda akan membincangkan sebarang risiko yang berkaitan dengan rawatan ini dengan anda. TPH melibatkan penggunaan estrogen untuk menggantikan tahap hormon ini yang menurun dalam badan anda semasa tempoh menopaus.

  2. Antidepresan

    Antidepresan boleh memberi manfaat untuk menguruskan simptom emosi jika anda telah disahkan menghidap kemurungan atau kebimbangan semasa tempoh menopaus. Terdapat dua jenis antidepresan yang utama: inhibitor penyerapan serotonin yang dipilih semula (SSRI) dan inhibitor penyerapan serotonin-noradrenaline (SNRI). Doktor anda akan membincangkan dengan anda kelebihan dan risiko yang ubat-ubatan mungkin membawa.

  3. Suplemen

    Apabila anda memasuki peringkat menopaus, badan anda menjadi semakin bergantung kepada vitamin dan nutrien untuk mengekalkan kesihatan anda, kerana dengan estrogen yang berkurang, metabolisme anda juga mungkin menjadi lebih rendah. Doktor anda mungkin mengesyorkan pengambilan kalsium dan vitamin D.

Bagaimana untuk Menghadapi Menopaus?

Menopaus adalah peringkat semulajadi yang dialami oleh setiap wanita dalam kehidupan, tetapi setiap individu mengalami dan menghadapinya secara berbeza. Berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu untuk mengatasi menopaus:

  • Dapatkan rehat yang mencukupi, termasuk mengekalkan rutin tidur yang konsisten.
  • Amalkan diet yang berkhasiat.
  • Makan makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu, yogurt, dan kangkung untuk mengekalkan kesihatan tulang anda.
  • Bersenam secara lebih kerap, cuba libatkan senaman yang melibatkan beban seperti berjalan, berlari, atau menari ke dalam rutin anda.
  • Lakukan aktiviti santai seperti yoga atau meditasi.
  • Berbual dengan wanita lain yang mengalami pengalaman yang sama, seperti ahli keluarga, rakan, atau rakan sekerja.
  • Berbincang dengan doktor sebelum mencuba suplemen herba atau ubat-ubatan tambahan.

Buat Temu Janji di Hospital Pantai

Menopaus adalah peringkat semulajadi dan normal dalam proses penuaan wanita. Oleh itu, adalah normal untuk mengalami simptom seperti panas badan, kekeringan faraj, dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, jika simptom berterusan dan mengganggu kehidupan seharian anda, anda disyorkan untuk berunding dengan pakar kesihatan. Berterus teranglah dengan doktor anda mengenai simptom anda, supaya mereka dapat mencadangkan rawatan terbaik untuk menguruskan simptom anda dan menjadikan anda selesa.

Hubungi kami untuk membuat temu janji dengan pasukan pakar ginekologi kami hari ini, atau ketahui lebih lanjut mengenai Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pantai terdekat anda.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmen terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel ini telah disemak semula secara perubatan oleh pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G), Dr. Tan Ying An.

Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!