Menurut kajian pada 2021, kanser serviks adalah kanser yang ke-4 paling kerap berlaku di kalangan wanita di Malaysia. (Sumber: Pusat HPV, Malaysia)

Pemberian vaksinasi HPV dan saringan penyakit pra-invasif telah dianggap sebagai kaedah utama untuk mencegah kanser serviks di Malaysia. (Sumber: WHO, Pubmed)

Di Malaysia, program vaksin HPV di sekolah telah dimulakan pada 2010 untuk pelajar perempuan berumur 13 tahun. Menurut WHO, program vaksin semasa di Malaysia boleh mencegah kira-kira 14,000 kematian menjelang 2070.


Apa itu kanser serviks?

Kanser serviks, juga dikenali sebagai kanser pangkal rahim, berlaku di dalam sel-sel serviks atau kanal lahir, yang menyambungkan rahim dan vagina. Hampir semua kanser serviks disebabkan oleh jangkitan berterusan papilomavirus manusia (HPV).

Sistem imun kita biasanya akan menghilangkan HPV daripada badan. Namun, bagi sebilangan orang, sistem imun mereka gagal berbuat demikian. Jangkitan berterusan ini akan mengubah sel serviks normal menjadi sel prakanser dan akhirnya menjadi kanser. Semua wanita berisiko mendapat kanser serviks, khususnya mereka yang aktif secara seksual.


Apakah jenis-jenisnya?

Terdapat 2 jenis kanser serviks, iaitu karsinoma sel skuamus dan adenokarsinoma. Jenisnya ditentukan oleh rupa sel-sel kanser di bawah pemeriksaan mikroskop.

Karsinoma sel skuamus bermula dalam lapisan sel nipis dan rata pada dasar serviks, dan ia merangkumi 90% daripada kes kanser serviks. Adenokarsinoma bermula dalam sel kelenjar yang melapisi bahagian atas serviks, dan ia merangkumi 10% daripada kes kanser serviks. (Sumber: WebMD)

doktor bagi merawat kanser serviks

Apakah punca kanser serviks?

Secara amnya, kanser serviks berpunca daripada jangkitan papilomavirus manusia (HPV) yang berterusan.

Terdapat 14 subjenis HPV berisiko tinggi yang boleh meningkatkan risiko mendapat kanser serviks. HPV 16 dan HPV 18 adalah strain yang paling umum dan memudaratkan yang boleh menyebabkan kanser serviks.

Namun, individu yang dijangkiti oleh strain ini tidak semestinya akan mendapat kanser serviks. Seperti yang disebut tadi, kebanyakan orang memiliki keimunan sendiri untuk menangkis virus itu.


Apakah faktor-faktor risiko?

  • Jangkitan HPV yang berterusan, khususnya subjenis berisiko tinggi
  • HIV
  • Klamidia, sejenis jangkitan hubungan jenis yang disebabkan oleh bakteria Chlamydia trachomatis
  • Sejarah hubungan seksual
  • Sistem imun menjadi lemah disebabkan masalah kesihatan yang sedia ada, seperti penyakit buah pinggang kronik

Apakah tanda dan gejala (simptom) kanser serviks?

Kanser serviks peringkat awal biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom atau tanda. Peringkat awal ini selalunya dikesan melalui ujian pap smear dan/atau ujian HPV DNA. Namun, mereka dalam peringkat lanjut mungkin mengalami tanda dan gejala (simptom) seperti:

  • Pendarahan faraj yang luar biasa selepas mengadakan hubungan kelamin, antara haid, dan selepas menopaus.
  • Lelehan faraj yang berbau atau pekat dan berdarah.
  • Sakit pada bahagian pelvis atau sakit semasa melakukan hubungan seks.
  • Perlu kencing dengan kerap.
  • Sakit semasa kencing.

Oleh itu, semua wanita amat digalakkan untuk menjalani ujian saringan secara tetap.


Apakah ujian saringan dan diagnosis?

Kaum wanita digalakkan untuk menjalani saringan kanser serviks secara tetap. Sama seperti kanser payudara, kanser serviks yang dikesan dan dirawat lebih awal terbukti menghasilkan kadar hidup yang baik.

Pilihan ujian saringan yang tersedia sekarang ini bagi kanser serviks termasuk ujian pap smear dan/atau ujian HPV DNA. Ujian pap smear adalah pemeriksaan sitologi berasaskan cecair (LBC). Ujian HPV DNA digunakan untuk mengenal pasti wanita yang membawa virus ini dan subjenisnya. Kedua-dua ujian ini boleh dilakukan berasingan atau bersama dalam prosedur saringan bagi kanser serviks.

Ujian pap smear dilakukan pada wanita untuk memeriksa perubahan prakanser di dalam serviks. Ujian ini akan dilakukan dengan mengambil sampel sel daripada permukaan serviks atau cecair di dalam vagina. Sampel itu akan diuji di makmal untuk menentukan kehadiran HPV atau sel abnormal.

Jika ujian pap smear menunjukkan kehadiran sel-sel abnormal, langkah seterusnya adalah pemeriksaan kolposkopi, di mana doktor akan memeriksa serviks melalui mikroskop untuk mengesahkan kewujudan sel-sel prakanser. Biopsi biasanya akan dilakukan bagi mengesahkan diagnosis.


Berapakah peringkat dan tahap?

Kanser serviks biasanya dikelaskan secara klinikal dan radiologikal. Peringkat kanser akan ditetapkan menurut saiz dan tahap penyebaran tumor. Pemeriksaan fizikal dan imbasan pengimejan akan digunakan untuk menentukan peringkat penyakit dengan tepat supaya pilihan rawatan boleh ditetapkan.

Peringkat Huraian
1 Kanser kekal berada di dalam serviks
2 Kanser telah merebak ke luar serviks dan uterus seperti tisu berdekatan vagina atau di sebelah serviks. Tetapi, kanser itu masih berada di dalam pelvis dan belum merebak ke bahagian badan yang lain
3 Tumor telah merebak menembusi vagina kepada dinding pelvis dan mungkin juga telah merebak kepada buah pinggang. Ini boleh menyebabkan buah pinggang membengkak dan melemahkan fungsinya
4A Kanser telah merebak kepada pundi kencing dan rektum
4B Kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain

Maklumat pemeringkatan akan membantu doktor menyediakan pelan rawatan.


Apakah rawatan dan cara mengatasi kanser serviks?

Pilihan rawatan bagi kanser serviks termasuk:

  1. Pembedahan

    Prosedur untuk membuang sel-sel tumor sepenuhnya daripada serviks dan organ lain yang terkesan. Bergantung pada peringkat penyakit, doktor mungkin akan mencadangkan jenis pembedahan yang berbeza.

    Pada peringkat prakanser:

    • Pembedahan beku untuk membekukan sel-sel prakanser.
    • Pembedahan laser untuk menggumpalkan sel-sel prakanser.

    Pada peringkat kanser:

    • Pembedahan kon dilakukan dengan membuang bahagian berbentuk kon dalam serviks yang berkanser.
    • Histerektomi dilakukan untuk membuang seluruh uterus dan serviks.
    • Trakelektomi dilakukan dengan membuang serviks dan bahagian atas vagina, sementara rahim dibiarkan kekal.
    • Eksenterasi pelvis dilakukan dengan membuang uterus, pundi kencing, vagina, rektum dan semua bahagian pelvis yang telah dijangkiti kanser. Pembedahan ini biasanya dilakukan bagi kanser serviks yang berulang.
  2. Radioterapi / Brakiterapi

    Prosedur ini digunakan untuk membunuh sel-sel kanser dengan pancaran radiasi bertenaga tinggi, yang diberikan dalam berbilang sesi pendek sepanjang beberapa minggu.

  3. Kemoterapi

    Prosedur intravena untuk memasukkan ubat sitotoksik melalui saluran darah, yang akan diedarkan secara sistemik. Baca lanjut: Kemoterapi dan Radioterapi

  4. Terapi sasaran

    Prosedur ini menggunakan antibodi monoklon atau imunoterapi untuk merangsang sistem imun supaya melawan jangkitan.

vaksin hpv bagi mencegah kanser serviks

Apakah cara mencegah kanser serviks?

Ya, kanser serviks boleh dicegah. Untuk mencegahnya, pastikan semua gadis muda yang berumur 13 tahun divaksinasi untuk melawan HPV. Baca lanjut: Vaksin HPV di Malaysia

Semua wanita yang aktif secara seksual harus menjalani saringan tetap dengan ujian pap smear dan/atau ujian HPV DNA. Wanita berumur lebih daripada 21 tahun disarankan untuk menjalani ujian pap smear setiap tiga tahun.

Wanita melebihi usia 30 tahun perlu menjalani ujian pap smear atau ujian HPV DNA setiap tiga tahun. Jika keputusan bagi kedua-dua ujian adalah negatif, ujian seterusnya boleh dilakukan setiap lima tahun.


Atur janji temu di Hospital Pantai

Menerima diagnosis kanser boleh membebankan anda dan memilih rawatan yang sesuai juga boleh menjadi sukar. Pakar onkologi yang prihatin dan merangkumi pelbagai disiplin di Hospital Pantai sedia memberikan rundingan dan menyediakan pesakit dengan penjagaan dan bantuan terbaik dalam menyaring, mendiagnosis dan merawat kanser.

Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini jika anda mempunyai apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!