Apakah Pembedahan Caesarean?

Pembedahan Caesarean atau ringkasnya C-section, merupakan sejenis pembedahan di mana bayi dilahirkan melalui hirisan (potongan) yang dibuat di perut dan rahim ibu.

Lazimnya, hirisan dibuat secara mendatar pada bahagian bawah perut. Pembedahan Caesarean ialah prosedur pembedahan yang penting dengan risiko yang tersendiri. Oleh itu, ia biasanya dilakukan hanya apabila dianggap sebagai pilihan paling selamat untuk anda dan bayi anda.

Menurut data Jabatan Obstetrik Kebangsaan Malaysia, kira-kira 1 dalam 5 kelahiran di Malaysia adalah bersalin secara Caesarean.

Bilakah Pembedahan Caesarean Diperlukan?

Pembedahan Caesarean mungkin dinasihatkan sama ada sebagai prosedur berjadual (elektif) atau dilakukan segera jika bersalin secara normal adalah terlalu berisiko. Pembedahan Caesarean berjadual biasanya diatur bermula daripada minggu ke-39 kehamilan.

Prosedur ini mungkin diperlukan untuk beberapa sebab:

  • Bayi anda berada dalam kedudukan songsang (kaki ke bawah) dan doktor tidak dapat mengubahnya menjadi kedudukan kepala ke bawah.
  • Pelvis anda terlalu kecil untuk melahirkan bayi bersaiz normal atau kepala atau badan bayi terlalu besar untuk melalui pelvis anda dengan selamat.
  • Plasenta anda melekat terlalu rendah di dalam rahim (plasenta praevia).
  • Anda menjangkakan kehamilan kembar (dua atau lebih bayi).
  • Anda mempunyai tekanan darah tinggi yang berkaitan dengan kehamilan (pra-eklampsia) atau penyakit jantung.
  • Anda mengalami jangkitan (cth: herpes genital jangkitan atau jangkitan human immunodeficiency virus [HIV] yang tidak dirawat).
  • Bayi anda tidak mendapat oksigen dan nutrien yang mencukupi.
  • Proses bersalin normal anda tidak berkembang.
  • Terdapat pendarahan faraj yang berlebihan.

Apakah Perbezaan Antara Kelahiran Normal dengan Pembedahan Caesarean?

Perbezaan antara kelahiran normal dan pembedahan Caesarean termasuk:

  • Prosedur: Semasa pembedahan Caesarean, bayi akan dilahirkan melalui hirisan pada perut dan rahim ibu, manakala dalam kelahiran normal, bayi akan dilahirkan melalui saluran faraj (melalui saluran kelahiran). 
  • Risiko: Risiko dalam kelahiran normal termasuk koyakan, episiotomi dan proses kelahiran yang berpanjangan. Manakala risiko pembedahan Caesarean termasuk jangkitan, pendarahan, darah beku, kecederaan organ pelvis dan masa pemulihan yang lebih lama untuk ibu.
  • Pemulihan: Pulih daripada pembedahan Caesarean mengambil masa lebih lama berbanding kelahiran biasa.

Bagaimana Pembedahan Caesarean Dilakukan?

Kebanyakan pembedahan Caesarean dilakukan dengan bius anestesia epidural, bermaksud anda akan terjaga semasa prosedur dibuat, tetapi tidak akan merasakan kesakitan kerana bahagian bawah badan anda kebas. Kadangkala, pembedahan Caesarean dijalankan dengan menggunakan bius am (anda akan tidur). 

Semasa pembedahan Caesarean:

  • Sehelai kain dijadikan penghalang yang diletakkan di separuh badan anda semasa pembedahan supaya anda tidak dapat melihat apa yang sedang dilakukan. Doktor dan jururawat akan memaklumkan anda.
  • Hirisan sepanjang kira-kira 10 hingga 20 cm akan dibuat secara melintang di bahagian bawah abdomen dan rahim untuk melahirkan bayi. Namun, pemotongan menegak mungkin diperlukan untuk situasi apabila bayi berada dalam kedudukan songsang atau mengiring, jika plasenta berada pada kedudukan rendah di hadapan rahim atau jika terdapat keabnormalan lain dalam rahim.
  • Rahim dan pelbagai lapisan perut dijahit dengan teliti sebaik sahaja bayi dilahirkan.
  • Apabila ibu dan bayi berada dalam keadaan stabil, ibu dan ayah mungkin berpeluang untuk memegang bayi tersebut.

Berapa Lama Tempoh Pembedahan Caesarean?

Keseluruhan pembedahan mengambil masa sekitar 40-50 minit jika tiada komplikasi.

Apakah Jangkaan Saya Sebelum Menjalani Pembedahan Caesarean?

Apabila dimasukkan ke hospital untuk kelahiran secara Caesarean, ibu mungkin diberi antasid oral untuk mengurangkan keasidan perut dan ubat lain untuk meminimumkan rembesan di dalam mulut dan hidung.

Saluran intravena (IV) akan dimasukkan ke dalam tangan atau lengan. Larutan elektrolit akan diberikan melaluinya.

Selain itu, antibiotik akan diberikan melalui IV untuk mengurangkan risiko jangkitan selepas pembedahan.

Monitor akan digunakan untuk memantau tekanan darah, kadar denyutan jantung janin dan paras oksigen darah ibu sepanjang prosedur.

Bolehkah Saya Bersalin Secara Normal Selepas Pembedahan Caesarean?

Ya, boleh. Jika anda menepati kriteria berikut, peluang anda untuk bersalin normal selepas pembedahan Caesarean akan meningkat dengan ketara:

  • Doktor anda membuat potongan melintang rendah.
  • Pelvis anda tidak terlalu sempit untuk melahirkan bayi bersaiz normal.
  • Anda tidak hamil bayi kembar.

Walaupun bersalin normal biasanya diutamakan, dalam keadaan tertentu, pembedahan Caesarean boleh menyelamatkan nyawa anda atau bayi anda. Berbincang dengan doktor anda jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang prosedur ini.

Atur Janji Temu di Hospital Pantai

Pasukan pakar obstetrik dan ginekologi yang berdedikasi di Hospital Pantai disediakan untuk memberi rundingan bagi memberikan penjagaan dan bantuan yang terbaik. Hubungi kami untuk mengatur janji temu hari ini jika anda mempunyai sebarang kebimbangan atau soalan berkenaan kesihatan reproduktif anda.

Sila hubungi Pusat Saringan Kesihatan di Hospital Pantai yang terdekat dengan anda untuk janji temu saringan kesihatan.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!