Osteoartritis lutut adalah penyebab utama ketakupayaan dalam kalangan orang berumur 60 tahun ke atas. Kajian oleh Lancet Discovery Science pada tahun 2020 mendapati bahawa 16% penduduk dunia menghidap osteoartritis. Penemuan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar penduduk dunia mengalami masalah ini.

Memandangkan penyakit ini adalah penyakit progresif, mengetahui gejalanya pada peringkat awal adalah penting untuk rawatan yang berjaya.


Apa itu osteoartritis lutut?

Dalam terma bukan teknikal, osteoartritis adalah keadaan di mana kusyen semula jadi di antara sendi menjadi haus dan lusuh. Ini akan membuat tulang sendi bergesel antara satu sama lain, dan mengakibatkan rasa sakit, kekejangan, membengkak dan lama-kelamaan membentuk kontraktur dan taji tulang.

Osteoartritis lutut juga dikenali sebagai "penyakit sendi degeneratif lutut."

Osteoartritis lutut adalah artritis yang paling biasa terjadi. Selalunya ia dialami oleh orang yang berumur 45 tahun ke atas, tetapi orang yang lebih muda juga boleh mengalami masalah ini. Berdasarkan beberapa kajian, wanita lebih berkemungkinan untuk menghadapi masalah ini berbanding lelaki.

Terdapat dua jenis osteoartritis lutut:

  • Primer - Degenerasi artikular yang terjadi tanpa sebab yang tersirat.
  • Sekunder - Terjadi akibat trauma, hentakan pada sendi dengan kekuatan yang tidak normal atau masalah seakan artritis reumatoid seperti rawan artikular yang tidak normal.

Apakah empat peringkat osteoartritis lutut?

Selalunya doktor akan mengklasifikasikan peringkat osteoartritis lutut seperti berikut:

PeringkatHuraian
0Lutut kelihatan normal dan tidak menunjukkan tanda kerosakan.
1 (Minor)

Sendi lutut pesakit menunjukkan sedikit tanda haus dan lusuh. Taji tulang juga mungkin tumbuh pada tulang sendi. Bagaimanapun, untuk kebanyakan pesakit, peringkat ini tidaklah begitu menyakitkan.

Rawatan untuk peringkat ini hanyalah perubahan gaya hidup dan pengambilan suplemen (seperti glukosamina).

2 (Ringan)

Lutut menunjukkan lebih banyak pertumbuhan taji tulang. Pesakit mungkin mengalami sakit sendi, kekejangan di sekeliling sendi dan rasa tidak selesa apabila duduk untuk waktu yang lama. Rawan dan tisu lembut mungkin masih sihat lagi. Bagaimanapun, pecahan proteolitik dalam matriks rawan mungkin akan kelihatan.

Kaedah rawatan termasuk menyediakan pelan bagi menghentikan perkembangan penyakit ini. Terapi melegakan kesakitan boleh dipreskripsikan bersama dengan pendakap dan penyokong lutut serta suplemen (seperti Glukosamina).

3 (Sederhana)

Rawan menunjukkan tanda hakisan. Di samping itu, jurang di antara tulang telah menyempit, dan menyebabkan sakit yang kuat apabila pesakit berjalan. Cecair sinovium menunjukkan serpihan proteoglikan dan kolagen, dan sendi mungkin menjadi lebih kasar. Keradangan boleh menyebabkan pesakit kerap merasa sakit. Mungkin juga terdapat bunyi meretak semasa berjalan.

Rawatan termasuk ubat-ubatan melegakan kesakitan tanpa preskripsi doktor, terapi dan pengurangan berat badan. Jika kesakitan bertambah teruk, pesakit boleh diberikan suntikan asid hialuronik pada sendi lutut untuk menambahkan pergerakan. Osteotomi tulang dan/atau pembedahan penyusunan semula mungkin bermanfaat juga.

4 (Teruk)

Ruang dalam sendi berkurangan dengan ketara, dan menyebabkan haus dan lusuh yang teruk pada rawan. Ini akan menyebabkan keradangan kronik, cecair sinovium berkurangan, pergeseran antara sendi yang melampau dan ketidakupayaan untuk bergerak tanpa rasa sakit yang melampau.

Peringkat ini juga menunjukkan semakin banyak taji tulang yang terbentuk dan menyebabkan pesakit merasa sakit yang teruk apabila bergerak.

Rawatan boleh melibatkan pembedahan penggantian lutut, osteotomi tulang dan/atau penyusunan semula tulang.

Oleh kerana osteoartritis adalah penyakit progresif, ia boleh berkembang daripada satu peringkat ke peringkat seterusnya jika tidak dirawat. Peringkat akhir penyakit ini boleh menyebabkan pesakit menjadi kurang upaya dan langsung tidak berupaya untuk berjalan.

Oleh itu, anda dinasihatkan untuk berunding dengan doktor apabila anda perasan tanda awal sakit lutut atau gejala lain.


Apakah gejala bagi osteoartritis lutut?

Osteoartritis adalah penyakit progresif dan perkembangan normal baginya boleh dikelirukan dengan radangan.

Bagaimanapun, terlalu memaksa lutut, kegiatan sukan yang menyebabkan tekanan pada sendi lutut, gerakan berulang, kenaikan berat badan secara tiba-tiba atau cuaca sejuk melampau boleh meningkatkan ketakselesaan pesakit.

Malangnya, osteoartritis adalah penyakit progresif dan boleh menyekat seluruh pergerakan jika tidak dirawat tepat pada masanya.

Kesakitan dan tahap gejala yang lain berbeza daripada satu pesakit kepada satu pesakit yang lain, dan lama-kelamaan akan melemahkan pesakit.

Gejala biasa termasuk:

  • Kesakitan lutut yang sederhana pada mulanya tetapi lama-kelamaan bertambah teruk
  • Kesakitan pada lutut semakin bertambah apabila membuat aktiviti
  • Kekejangan dan bengkak di sekeliling sendi lutut
  • Ketakupayaan untuk menggerakkan sendi selepas duduk/berehat pada jangka masa yang panjang
  • Sendi terasa hangat
  • Pergerakan yang berkurangan
  • Lutut berbunyi seperti retak semasa bergerak

Apakah punca bagi osteoartritis lutut?

Penuaan adalah punca paling biasa bagi osteoartritis lutut. Sebahagian besar orang dewasa akan mendapat osteoartritis dalam tahap tertentu selepas umur yang tertentu.

Berikut adalah faktor risiko yang diketahui untuk mendapat artritis lutut:

  • Umur - Ini adalah kerana keupayaan rawan untuk pulih sendiri akan berkurangan apabila umur meningkat.
  • Keturunan - Gen tertentu boleh menjadikan seseorang lebih mudah mendapat osteoartritis lutut.
  • Jantina - Wanita berumur 50 tahun ke atas lebih mudah mendapat masalah ini berbanding lelaki.
  • Berat badan - Berat badan yang berlebihan/obes akan menambah tekanan pada sendi.
  • Kecederaan berkaitan tekanan - Ini biasa dilihat pada orang yang terlibat dalam aktiviti/pekerjaan tertentu seperti mengangkat berat dan kerap melutut di lantai.
  • Sukan - Sukan intensiti tinggi seperti bola sepak, tenis dan berlari boleh meningkatkan kemungkinan untuk mendapat kecederaan lutut yang menyebabkan osteoartritis.
  • Masalah lain - Penyakit sedia ada yang tertentu seperti artritis reumatoid dan gangguan metabolik boleh meningkatkan kemungkinan berlakunya osteoartritis.

Bagaimanakah osteoartritis lutut didiagnosis?

Doktor anda akan mulakan diagnosis dengan pemeriksaan fizikal. Beliau juga mungkin akan bertanyakan soalan tentang:

  • Sejarah perubatan anda
  • Sejarah keluarga yang menghidapi artritis dan masalah yang serupa
  • Apa yang menyebabkan kesakitan itu bertambah baik atau bertambah teruk
  • Pekerjaan anda dan jika ia melibatkan tekanan pada lutut untuk masa yang panjang

Pakar ortopedik juga boleh menyuruh anda melakukan ujian yang berikut:

  • X-ray untuk menunjukkan kerosakan pada tulang dan rawan
  • Imbasan MRI
  • Ujian darah untuk menolak kemungkinan masalah seperti artritis reumatoid atau isu hormon yang lain

Apakah pilihan rawatan untuk osteoartritis lutut?

Tujuan utama rawatan adalah untuk mengurus kesakitan dan mengembalikan pergerakan. Oleh itu, kaedah rawatan akan bermula dengan teknik konservatif diikuti dengan intervensi pembedahan, jika rawatan konservatif tidak berkesan.

Pilihan rawatan konservatif termasuk:

  • Ubat-ubatan untuk memperlahankan perkembangan dan mengurangkan keradangan dan kesakitan
  • Hilang berat badan
  • Senaman untuk menguatkan otot di sekeliling sendi lutut. Ini juga akan membantu sendi menjadi lebih stabil
  • Suntikan kortikosteroid boleh membantu melegakan keradangan
  • Suntikan asid hialuronik untuk melincirkan sendi
  • Krim dan sapuan topikal berserta suplemen
  • Alat penyokong seperti pendakap lutut
  • Alat penyokong seperti pendakap lutut

Teknik pembedahan termasuk yang berikut:

Artroskopi - Prosedur pembedahan invasif minimum (MIS) ini dilakukan dengan membuat insisi kecil dan menggunakan alat seperti teleskop (dipanggil artroskop) untuk mengeluarkan rawan yang rosak dan membaikpulih tisu yang rosak. Sebaiknya ia dilakukan untuk pesakit yang berumur 55 tahun ke bawah. Pemulihan selepas pembedahan adalah cepat.

Osteotomi - Prosedur ini dilakukan untuk mengeluarkan penjajaran lutut. Ia disyorkan jika kerosakan terbatas pada satu kawasan lutut atau jika lutut yang patah masih belum pulih sepenuhnya.

Artroplasti (pembedahan ganti sendi) - Seperti namanya, sendi akan digantikan dengan bahagian tiruan (diperbuat daripada logam atau plastik). Selalunya ia disyorkan untuk kes osteoartritis yang teruk dan untuk orang yang berumur 55 tahun ke atas.


Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai

Pasukan penjagaan kesihatan profesional yang prihatin dan terdiri daripada pelbagai disiplin sedia untuk berunding dan memberikan penjagaan yang terbaik. Hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Ortopedik di Hospital Pantai yang terdekat.

Hospital Pantai Malaysia diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.


Rujukan:

  1. "Osteoartritis lutut", Tersedia di: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK507884/ [Accessed on 1 March 2022]
  2. "Osteoartritis lutut- punca, gejala, dan rawatan", Tersedia di: https://www.webmd.com/osteoarthritis/ostearthritis-of-the-knee-degenerative-arthritis-of-the-knee [Accessed on 1 March 2022]
  3. "Osteoartritis- Diagnosis dan Rawatan", Tersedia di: https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/osteoarthritis/diagnosis-treatment/drc-20351930 [Assessed on 1 March 2022]
  4. "Osteoartritis lutut", Tersedia di: https://www.medicalnewstoday.com/articles/310579 [Accessed on 1 March 2022]
  5. "Apa itu osteoartritis lutut", Tersedia di: https://www.arthritis-health.com/types/osteoarthritis/what-knee-osteoarthritis#:~:text=Knee%20osteoarthritis%20is%20a%20condition,from%20joint%20friction%20and%20impact. [Accessed on 1 March 2022]
  6. "Artritis lutut- 4 peringkat", Tersedia di: https://www.ibji.com/blog/orthopedic-care/arthritis-in-knee-4-stages-of-osteoarthritis/ Accessed on 2 March 2022]
Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!